BERITA TERKINI   JIM akan mula mengeluarkan Pasport Malaysia Antarabangsa versi baharu dilengkapi 94 ciri keselamatan pada 1 Jun - KP Imigresen | Jumlah pendapatan pelaburan KWSP meningkat 51 peratus kepada RM27.73 bilion pada suku pertama 2026 daripada RM18.31 bilion sebelum ini | 15 kapal melibatkan 25 rakyat Malaysia dipintas dan ditahan tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) setakat ini - KP SNCC | 10 kapal dijangka tiba berhampiran pantai Gaza dalam tempoh kira-kira sembilan jam jika tidak berdepan gangguan - KP SNCC | 10 kapal kini dalam pelayaran di Zon Merah 2, kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza - KP SNCC | 

Ringgit Dijangka Diniagakan RM3.96–RM3.98 Berbanding Dolar AS Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Urus niaga ringgit diunjur dalam julat lebih kecil pada minggu depan iaitu RM3.96 hingga RM3.98 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menjelang pengumuman data penting berkaitan negara maju itu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan minggu depan terarah kepada data pasaran guna tenaga AS, teruama Penggajian Bukan Perladangan (NFP).

“Data ini kritikal memandangkan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) memerlukan bukti yang meyakinkan bahawa pasaran guna tenaga semakin perlahan. Jika tidak ini mungkin hanya mengekalkan pendirian dasar monetari Fed yang ketat,” katanya kepada Bernama.

Bagi urus niaga Khamis lepas, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada 3.9690/9740 berbanding 3.9630/9670 pada akhir dagangan minggu sebelumnya.

Selain itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama minggu ini.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.3593/3661 daripada 5.3429/3483, rendah berbanding euro kepada 4.6417/6476 daripada 4.6312/6358 dan turun berbanding yen Jepun kepada 2.4907/4942 daripada 2.4808/4834.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakan meningkat berbanding mata wang ASEAN.

Ini termasuk mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1711/1932 daripada 12.2183/2363, naik berbanding peso Filipina kepada 6.45/6.47 daripada 6.52/6.53 serta meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 228.7/229.2 daripada 230.0/230.3.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat bersempena cuti umum Hari Pekerja.

-- BERNAMA