35 Projek Sektor Pertengahan, Hiliran Getah Dilaksana, Libat Dana RM9.9 Juta – KPK

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan membiayai sebanyak 35 projek berkaitan sektor pertengahan dan hiliran getah dengan dana peruntukan RM9.9 juta setakat ini, termasuk 10 projek khusus sektor sarung tangan getah bernilai RM3.5 juta, kata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

KPK berkata bagi memperkasakan sektor hiliran getah negara, kementerian itu melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaksanakan pelbagai inisiatif meliputi aspek promosi, pembangunan kapasiti, automasi, pendigitalan, teknologi hijau dan kelestarian.

“Sehingga kini, sebanyak 35 projek berkaitan sektor pertengahan dan hiliran getah telah dibiayai dengan jumlah dana berjumlah RM9.9 juta, termasuk 10 projek khusus sektor sarung tangan getah bernilai RM3.5 juta.

“Program-program ini sentiasa ditambah baik bagi memenuhi keperluan semasa industri,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

KPK menjawab soalan Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN–Kubang Pasu) yang meminta kementerian menyatakan langkah dan tindakan kerajaan bagi memperkasakan industri hiliran getah, terutamanya industri pembuatan sarung tangan getah.

Sementara itu, KPK berkata dari aspek promosi dan pembangunan pasaran, MRC giat melaksanakan promosi antarabangsa di pasaran utama dan baharu, termasuk Amerika Syarikat, Eropah, China, India, Timur Tengah serta beberapa negara berpopulasi tinggi dan Afrika.

Menurut KPK, dari segi sokongan kewangan dan insentif pula, MRC menyediakan pelbagai skim bantuan bagi memperkasakan industri hiliran getah, khususnya industri pembuatan sarung tangan getah dan subsektor getah kering. 

“Melalui Skim Bantuan Industri MRC (SBIM), sebanyak 20 jenis insentif disediakan dengan penekanan kepada PKS meliputi penerokaan pasaran eksport, pensijilan produk, pembelian perkakasan, penjenamaan, pembangunan kapasiti serta pematuhan aspek kelestarian,” kata kementerian itu.

--BERNAMA