BERITA TERKINI   ACLE: Sanfrecce Hiroshima 2-1 JDT | Suhaimi Sulaiman sahkan lepaskan jawatan KP Jabatan Penyiaran hujung bulan ini | CelcomDigi secara rasmi lantik Albern Murty sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, berkuat kuasa hari ini | Axiata Group Bhd lantik Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil bagi menggantikan Vivek Sood sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan, berkuat kuasa 1 Jun, 2026. | 

Petronas Peroleh PSC Bagi Kluster Permata Di Luar Pantai Sabah

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi Malaysia Petroleum Management (MPM) hari ini mengumumkan perolehan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi Kluster Permata, yang terletak di luar pantai Sabah kepada Bridge Petroleum Ltd, berpangkalan di London.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata ini menandakan kejayaan memuktamadkan tiga kluster Peluang Sumber Ditemui (DRO) dan perkembangan blok penerokaan tambahan yang ditawarkan di bawah Pusingan Bidaan Malaysia 2025 (MBR 2025), yang dilancarkan awal tahun lepas.

Firma minyak negara itu berkata perolehan PSC itu merupakan ‘isyarat jelas mengenai keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi sektor huluan Sabah’. 

Kerjasama dengan kerajaan negeri Sabah itu disahkan semula menerusi majlis pertukaran dokumen di Kuala Lumpur, disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Kluster Permata, yang terdiri daripada lapangan South East Collins, Lokan, Axinit, Realgar dan Manikam, telah dianugerahkan di bawah PSC Aset Lapangan Kecil (SFA) kepada Bridge Petroleum, menandakan penyertaan syarikat itu ke Malaysia sebagai pengendali tunggal.

"Meliputi kawasan dengan penemuan minyak dan gas sedia ada, Kluster Permata dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 10 juta tong bersamaan minyak (MMboe) sumber yang belum diterokai.

"Bridge Petroleum merancang untuk melaksanakan penyelesaian ikatan bawah laut ke kemudahan berdekatan, dengan pengeluaran komersial pertama disasarkan seawal 2029," katanya.

Petronas berkata projek ini dijangka menjana limpahan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan bagi tenaga kerja mahir dan menyokong penyedia perkhidmatan tempatan sepanjang kitaran hayatnya. 

Hajiji berkata kesemua inisiatif itu mencerminkan strategi jangka panjang kerajaan untuk mengukuhkan sektor tenaga Sabah menerusi pelaburan berkualiti tinggi dan kerjasama erat dengan Petronas. 

“Dengan peluang yang kini berkembang di seluruh negeri dari barat hingga ke pantai timur, kami mengalu-alukan pelabur yang memiliki reputasi untuk bekerjasama dengan kami dalam memastikan manfaat yang mampan dan berkekalan untuk rakyat Sabah," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Muhammad Taufik berkata pencapaian penting yang diperoleh hari ini mencerminkan komitmen berterusan Petronas untuk memanfaatkan potensi tenaga Malaysia melalui kerjasama.

“Pembangunan ini menyumbang kepada pertumbuhan serantau, terutamanya di Sabah, dengan mewujudkan peluang penyertaan merentasi ekosistem tenaga tempatan,” katanya. 

Bagi melengkapi pelantikan PSC itu, Petronas dan Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) telah bertukar-tukar Perjanjian Utama (HoA) bagi keselamatan pasaran gas Kluster Mutiara, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama antara Petronas dan kerajaan negeri Sabah.

Beliau berkata HoA itu menggariskan prinsip utama ke arah Perjanjian Jualan Gas pada masa hadapan bagi menyokong pembangunan Kluster Mutiara menjelang suku pertama tahun 2029.

Mengenai lantikan di bawah PSC Aset Lapangan Kecil (SFA) kepada DIALOG Resources Sdn Bhd pada Jun 2025, Petronas berkata Kluster Mutiara dijangka menjadi perintis pembangunan huluan di Pantai Timur Sabah.

Tambahnya, ia djangka menjadi pemangkin kepada penjanaan wang gas dan minyak pada masa hadapan di koridor timur, merangsang aktiviti ekonomi dan mengukuhkan peranan Sabah sebagai kawasan pertumbuhan tenaga utama. 

Kerjasama erat itu diperkukuhkan lagi menerusi Pasukan Petugas Bersama yang melibatkan Petronas dan agensi negeri Sabah, bertujuan mempercepatkan pembangunan huluan serta hiliran sepanjang pantai timur Sabah. 

--BERNAMA