BERITA TERKINI   Kerajaan negeri perlu patuhi ketetapan berkaitan pembinaan rumah ibadat secara tidak sah - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi, Menjejaki Prestasi Minyak Kacang Soya

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri dagangan Isnin dengan lebih tinggi, menjejaki peningkatan pasaran minyak kacang soya di Chicago Board of Trade (CBOT).

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata perjanjian perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) telah menaikkan sentimen di pasaran kacang soya, sekali gus turut mendorong peningkatan harga MSM.

“Sehubungan itu, kami mengunjurkan sokongan MSM pada paras melebihi RM4,100 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,280 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan hari ini, kontrak Februari 2026 naik RM18 kepada RM4,100 satu tan; Mac 2026 menokok RM11 kepada RM4,132 satu tan manakala April 2026 menambah RM6 kepada RM4,160 satu tan.

Kontrak Mei 2026 naik RM4 kepada RM4,167 satu tan manakala Jun 2026 dan Julai 2026 masing-masing menokok RM3 kepada RM4,161 satu tan dan RM4,153 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 41,661 lot daripada 84,668 yang dicatat pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka susut kepada 216,074 kontrak daripada 220,712 kontrak, sebelum ini.

Harga fizikal MSM bagi Februari Selatan meningkat RM20 kepada RM4,150 satu tan.

-- BERNAMA