BERITA TERKINI   Keputusan peperiksaan STAM diumum 5 Feb - KPM  | Bangunan warisan mesti terus hidup sebagai ruang mendidik, menyatukan dan beri inspirasi untuk generasi masa hadapan - PM Anwar | 3,164 sekolah diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid setakat November tahun lepas - Timbalan Menteri Pendidikan | Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad pastikan sejarah terus hidup, difahami dan jadi pedoman hadapi cabaran masa depan - PM Anwar | Agong berkenan sempurnakan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad Fasa 1 | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Didagangkan Pada Kecenderungan Meningkat Minggu Depan

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan pada kecenderungan meningkat minggu hadapan susulan tanda-tanda pengeluaran yang lebih rendah, kata peniaga.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata keadaan bekalan semakin terhad serta prospek permintaan yang bertambah baik dijangka menyokong harga.

“Kami menjangkakan harga dagangan antara RM4,200 satu tan hingga RM4,350 satu tan minggu hadapan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa berkata peserta pasaran akan memantau rapat anggaran penawaran dan permintaan bagi Januari menjelang data rasmi daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Data penting lain termasuk anggaran pengeluaran Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) bagi tempoh 1 hingga 31 Januari serta data eksport daripada penyelidik kargo bagi tempoh yang sama,” katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, kontrak bagi serahan Februari 2026 naik RM32 kepada RM4,160 satu tan, Mac 2026 menambah RM45 kepada RM4,209 satu tan manakala April 2026 menokok RM54 kepada RM4,229 satu tan.

Mei 2026 naik RM56 kepada RM4,228 satu tan, Jun 2026 meningkat RM52 kepada RM4,213 satu tan dan Julai 2026 menambah RM45 kepada RM4,194 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 455,274 lot daripada 333,697 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 220,712 kontrak daripada 228,950 kontrak.

Harga MSM fizikal baharu bagi Januari Selatan meningkat RM60 kepada RM4,200 satu tan daripada minggu lepas.

-- BERNAMA