BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Rendah Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan dalam persekitaran sentimen dolar Amerika Syarikat (AS) mengukuh.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga emas semerta telah menghampiri paras AS$5,000 setiap auns troy apabila dolar AS mengukuh di tengah-tengah berita mengenai bakal pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS.

Beliau berkata bekas gabenor Fed AS, Kevin Warsh dijangka akan dilantik sebagai pengerusi Fed AS yang baharu dan dikenali sebagai seorang yang sangat menitikberatkan kawalan inflasi sepanjang tempoh perkhidmatannya dari 2006 hingga 2011.

“Harga emas semerta mencecah satu lagi paras tertinggi baharu sekitar AS$5,500 setiap auns troy minggu ini yang mungkin telah mendorong pedagang untuk mengambil keuntungan dengan spekulasi mengenai kepimpinan Fed AS bertindak sebagai pemangkin,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, Mohd Afzanizam menjangkakan harga emas semerta akan berlegar antara AS$4,950 dan AS$4,970 setiap auns troy minggu depan, memandangkan pasaran menunggu pengumuman data akan datang termasuk laporan gaji bukan ladang (NFP) dan indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM).

Berdasarkan minggu ke minggu, kontrak Januari 2026 meningkat kepada AS$5,063.50 setiap auns troy daripada AS$4,914.80 setiap auns troy, Februari 2026 naik kepada AS$5,062.60 setiap auns troy daripada AS$4,928.00 setiap auns troy, Mac 2026 meningkat kepada AS$5,080.90 setiap auns troy daripada AS$4,945.90 setiap auns troy seminggu sebelumnya.

Kontrak April, Jun and Ogos 2026 masing-masing melonjak kepada AS$5,097.70 setiap auns troy daripada AS$4,963.70 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 1,705 lot daripada 1,331 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 332 kontrak daripada 567 kontrak.

Emas fizikal ditetapkan pada AS$5,405.00 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 29 Januari, 2026.

-- BERNAMA