Sabah Berkedudukan Strategik Jadi Hab Ekonomi Biru - Timbalan Menteri Ekonomi
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kekayaan sumber asli, biodiversiti, serta kedudukan strategik negeri Sabah akan dimanfaatkan bersama infrastruktur moden, teknologi hijau dan ekonomi baharu terutamanya dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata Sabah telah dikenal pasti sebagai hab ekonomi biru yang berpotensi besar.
“Kewujudan zon ekonomi khas termasuk zon pengeluaran makanan akan diteroka berdasarkan potensi kawasan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai pelan intervensi khusus untuk memacu semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah bagi memastikan jurang ekonomi antara wilayah tidak semakin melebar.
Mohd Shahar berkata dalam Rolling Plan (RP) pertama RMK-13 bagi 2026, peruntukan pembangunan Sabah meningkat daripada RM6.9 bilion, naik 13.8 peratus berbanding tahun sebelumnya dan antara projek utama adalah Pusat Jantung Sabah, Jalan Kalabakan-Simanggaris, Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dan Projek Air Sabah.
“Kerajaan akan terus mempunyai usaha bersepadu dalam RMK-13 bagi memastikan pelaksanaan inisiatif dan strategi pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersasar agar potensi ekonomi Sabah dapat digembleng sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat secara inklusif dan mampan,” katanya.
Pelaburan diluluskan di Sabah bernilai RM11.91 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2025 merangkumi RM5.29 bilion pelaburan domestik dan RM6.62 bilion pelaburan asing.
-- BERNAMA