Hextar Capital Raih Subkontrak Projek Kem Kabota Di Sabah Bernilai RM75.9 Juta
KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Hextar Capital Bhd, melalui anak syarikatnya, Legacy Core Sdn Bhd, meraih subkontrak bagi Projek Kem Kabota di Tawau, Sabah dengan nilai kontrak RM75.9 juta.
Dalam satu makluman di Bursa Malaysia, Hextar berkata subkontrak itu akan merangkumi kerja-kerja geoteknikal dan tanah, pembinaan laluan berturap, infrastruktur dan kerja pembinaan berkaitan projek berkenaan.
Pengarah Urusannya Johnson Chang berkata kontrak itu menandakan kemajuan strategik bagi kumpulan ketika ia mempercepatkan kehadirannya di Malaysia Timur.
“Meraih projek utama ini merupakan langkah penting dalam mewujudkan kehadiran operasi yang lebih kukuh di Sabah.
“Memandangkan Sabah terus mengutamakan pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan bandar, projek ini meletakkan Hextar dalam kedudukan yang baik untuk menyertai dengan lebih aktif bagi projek pembinaan yang sedang berkembang di negeri itu,” katanya.
Projek itu akan bermula serta-merta, dengan tempoh 12 bulan dan disasarkan siap menjelang 31 Mac, 2027.
Hextar merupakan sebuah kumpulan perniagaan yang pelbagai, terlibat dalam pembuatan, perkhidmatan kejuruteraan, infrastruktur telekomunikasi, penjanaan tenaga, pembinaan dan pengurusan projek.
-- BERNAMA