Jumlah Penyenaraian Pasaran IPO Malaysia Ungguli Asia Tenggara Pada 2025 - Deloitte
KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Pasaran tawaran awam permulaan (IPO) Malaysia mendahului negara lain di Asia Tenggara dari segi jumlah penyenaraian, dengan 59 IPO meraih US$1.4 bilion (2024: 55 IPO meraih US$1.6 bilion), terutamanya melalui Pasaran ACE (US$1 = RM3.96).
Menurut Deloitte Southeast Asia Ltd dalam laporan Pasaran Modal IPO Asia Tenggara 2025, prestasi itu didorong oleh keyakinan pelabur yang berterusan dan barisan syarikat yang ingin mengumpul modal di bursa saham.
“Pasaran IPO Malaysia pada 2025 mempunyai kepelbagaian sektor yang kukuh, sentimen pelabur yang positif dan persekitaran kawal selia yang menyokong, menjadikannya hab pasaran modal yang berdaya tahan dan menarik di rantau ini untuk IPO.
“Kami menyaksikan penyenaraian sekunder pertama dan penyenaraian anak syarikat kepada syarikat yang disenaraikan di Bursa Korea di Malaysia,” katanya.
Katanya selepas 55 penyenaraian pada 2024, pasaran IPO Malaysia mencatatkan satu lagi pencapaian dengan 59 IPO pada 2025, iaitu tertinggi sejak 2006.
Dari segi sektor, katanya sektor produk perindustrian terus mendahului dari segi jumlah IPO, diikuti pengguna, tenaga dan sumber serta teknologi, media dan telekomunikasi.
“Sektor pengguna, tenaga dan sumber serta produk perindustrian merupakan tiga industri utama mengumpul dana IPO paling tinggi pada 2025.
“IPO terbesar pada 2025 (Eco-shop Marketing Bhd) dan 2024 (99 Speed Mart Retail Holdings Bhd), kedua-duanya daripada industri pengguna,” katanya.
Katanya kadar jumlah IPO Malaysia yang diraih oleh negara-negara Asia Tenggara pada 2025 adalah sebanyak 22 peratus manakala Singapura mencatatkan kedudukan teratas dengan 31 peratus, diikuti Indonesia (17 peratus), Vietnam (15 peratus), Filipina (sembilan peratus) dan Thailand (enam peratus).
Trend IPO di rantau ini pada 2025 menunjukkan pemulihan yang tertumpu pada nilai, kepimpinan sektor dalam hartanah, tenaga dan sumber, perkhidmatan kewangan dan perkhidmatan pengguna selain Singapura sebagai destinasi IPO berprofil tinggi didorong oleh langkah-langkah kawal selia yang mesra pasaran dan penyenaraian syarikat yang memberi impak kepada pasaran.
“Walaupun penyenaraian berskala besar meningkat, sentimen masih berhati-hati dengan syarikat yang merancang untuk penyenaraian memantau pasaran modal bagi masa dan penilaian yang sesuai, membawa kepada saiz penawaran yang lebih kecil dan strategik.
“Walaupun terdapat ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi, pasaran serantau kekal berdaya tahan, disokong oleh pembaharuan kawal selia, kepelbagaian sektor dan keyakinan pelabur yang semakin meningkat,” katanya.
Katanya persekitaran yang kukuh ini menunjukkan bahawa Asia Tenggara kekal sebagai rantau yang menarik untuk pengumpulan modal pasaran awam pada 2025 dan seterusnya.
“Berdasarkan keadaan pasaran bertambah baik, syarikat yang merancang untuk IPO akan terus memantau pasaran modal untuk mencari masa yang sesuai bagi memaksimumkan penilaian dan memanfaatkan permintaan sedia ada untuk aktiviti kecairan yang membolehkan pelabur dan pemegang saham merealisasikan nilai,” katanya.
-- BERNAMA