BERITA TERKINI   Beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei raih gelaran Masters Indonesia 2026 | Masters Indonesia: Beregu wanita utama negara Pearly-Thinaah muncul juara selepas Igarashi-Takahashi tarik diri dari final - BAM | APG 2025: Malaysia capai sasaran 181 pingat menerusi sukan tenis kerusi roda | Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sasar 30,000 lantikan penjawat awam tahun ini - Pengerusi | Ahmad Zahid harap parti teras BN terus bersama dan diperkukuh termasuk MIC | 

Kertas Putih MHIT Mampu Pertingkat Akses Bagi Penjagaan Kesihatan -- CIMB Securities

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd menyifatkan kertas putih pelan asas insurans/takaful kesihatan perubatan (MHIT) Bank Negara Malaysia (BNM) menjadi langkah penting bagi memperluaskan akses penjagaan kesihatan serta meningkatkan kumpulan risiko merangkumi semua pengendali insurans dan takaful (ITO) berkaitan.

Pada masa sama, penerbitan kertas putih itu memaparkan usaha kerjasama melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, BNM serta pihak berkepentingan utama bagi menangani inflasi perubatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan di negara ini.

Langkah memperluaskan kumpulan risiko juga dapat membantu mengurangkan volatiliti atau ketidaktentuan berkaitan tuntutan serta menyokong lebih banyak premium dari semasa ke semasa.

 “Pelaksanaannya bagaimanapun kekal penting memandangkan ketiadaan sokongan kewangan langsung daripada kerajaan bagi tujuan langganan MHIT serta timbulnya potensi tentangan daripada struktur bayaran bersama dan potongan diperlukan yang mungkin menghalang penyertaan pemegang polisi daripada kalangan kumpulan B40,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

CIMB Securities berkata produk MHIT akan menyasarkan individu yang tidak mempunyai perlindungan insurans/takaful sedia ada serta yang mencari alternatif lebih mampu milik berbanding pelan MHIT semasa, terutamanya susulan kenaikan premium yang ketara dari semasa ke semasa, terutama pada usia lanjut.

Mengikut kertas putih itu, had polisi tahunan akan dirangka bagi meliputi prosedur berjumlah besar serta biasa dan kemasukan hospital yang kompleks di hospital swasta.

Rawatan amat kompleks dan yang menelan kos tinggi serta melebihi had polisi akan terus diuruskan dalam sistem penjagaan kesihatan awam.

Pelan asas MHIT itu akan dilaksanakan terdahulu secara rintis pada separuh kedua 2026 dan seterusnya dijangka berada di pasaran pada awal 2027.

Aspek ini menyediakan platform seragam bagi menyokong peralihan berperingkat daripada model bayaran mengikut perkhidmatan (FFS) sedia ada kepada sistem pembayaran berasaskan kumpulan berkaitan diagnosis iaitu penyedia perkhidmatan menerima bayaran tetap bagi setiap rawatan berdasarkan kod diagnosis dan rawatan yang seragam serta setara dari segi klinikal dan penggunaan sumber.

CIMB Securities juga mengekalkan saranan “Overweight” terhadap sektor penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA