AHAM Capital Agih Pendapatan RM1.39 Bilion Merangkumi 84 Dana Bagi Tahun Kewangan 2025
KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- AHAM Asset Management Bhd (AHAM Capital) mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak RM1.39 bilion bagi tahun kewangan 2025 merangkumi 84 dana borong dan runcit.
Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata agihan pendapatan yang diisytiharkan merangkumi pelbagai strategi dan kelas aset termasuk ekuiti, bon dan dana aset bercampur.
Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Pendapatan Tetap Esther Teo berkata dana utama AHAM Capital iaitu dana Select dan World Series memberikan pulangan antara 4.0 hingga 8.0 peratus.
"Ini mencerminkan pendekatan pelaburan yang berdisiplin merangkumi pelbagai strategi yang pihak kami uruskan.
"Kami percaya pendapatan akan terus memainkan peranan penting dalam daya tahan portfolio dengan menyediakan kestabilan dan potensi pengkompaunan terutamanya dalam tempoh ketidaktentuan yang tinggi," tambahnya.
Memandang ke hadapan iaitu ke 2026, beliau berkata syarikat tetap optimis mengenai prospek pendapatan tetap.
Beliau berkata di bawah senario kes asas syarikat, inflasi dijangka kekal terkawal manakala jangkaan untuk penurunan kadar faedah Amerika Syarikat kekal tidak berubah.
"Pasaran pendapatan tetap dijangka kekal stabil secara umum walaupun kadar penurunan faedah global mungkin akan menjadi lebih perlahan berbanding dengan tahap yang dilihat pada 2025," katanya.
Sehingga 31 Dis, 2025, jumlah aset di bawah pentadbiran (AUA) AHAM Capital mencapai RM101.5 bilion, melepasi paras RM100 bilion buat pertama kali sejak operasi syarikat itu bermula pada 2001.
Jumlah AUA merangkumi aset di bawah pengurusan, perundingan pelaburan dan aset di bawah pengedaran.
-- BERNAMA