Saham Sunway, IJM Melonjak Berikutan Cadangan Penggabungan
KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Sunway Bhd dan IJM Corporation Bhd adalah antara kaunter paling aktif, didagangkan lebih tinggi pada tengah hari berikutan sentimen positif yang timbul susulan potensi penggabungan antara kedua-dua syarikat itu.
Pada 3.40 petang, harga saham Sunway dan IJM melonjak dua sen serta sembilan sen masing-masing kepada RM5.62 dan RM2.84, dengan 17.78 juta dan 90.18 juta saham bertukar tangan.
Dilaporkan bahawa Sunway telah mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk mengambil alih keseluruhan 3.51 bilion saham IJM pada harga tawaran sebanyak RM3.15 sesaham.
"Dengan mengandaikan tawaran cadangan tersebut diterima dan tiada pelarasan dibuat kepada harga tawaran, jumlah pertimbangan untuk tawaran yang dicadangkan adalah kira-kira RM11.0 bilion, yang akan diperjelaskan melalui gabungan tunai termasuk terbitan saham biasa baharu dalam Sunway," kata Sunway.
Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, Sunway berkata tawaran yang dicadangkan itu dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026.
MBSB Investment Bank Bhd melalui satu nota hari ini berkata bahawa pengambilalihan IJM dijangka akan menguntungkan Sunway memandangkan entiti yang diperbesarkan itu boleh menjana sinergi daripada perniagaan yang serupa dalam pembangunan dan pembinaan hartanah, sekali gus mencapai skala ekonomi yang lebih besar serta sinergi kos.
Pengambilalihan IJM akan mendedahkan Sunway kepada segmen infrastruktur, khususnya jalan tol dan pelabuhan. Pada masa yang sama, bahagian hartanah akan menyaksikan simpanan tanahnya berkembang antara 1,341.8 hingga 2,299.7 hektar, meningkatkan potensi nilai pembangunan kasar bank tanah IJM.
“Harga tawaran untuk saham-saham IJM sebanyak RM3.15 sesaham adalah pada premium 14.5 peratus kepada harga dagangan terakhir IJM, dan kami berpendapat bahawa premium penilaian mungkin disebabkan oleh portfolio perniagaan kumpulan yang pelbagai.
“Kami mengekalkan unjuran pendapatan kami untuk Sunway bagi tahun kewangan 2025/2026/2027, dan menetapkan harga sasaran kami pada RM5.34, sementara menunggu pengambilalihan IJM selesai, yang dijangka pada suku ketiga tahun kewangan 2026,” katanya.
Sementara itu, melalui satu nota berasingan, RHB Investment Bank Bhd berkata ia melihat penggabungan itu sebagai sesuatu yang baik kerana ini akan membantu Sunway meningkatkan permodalan pasarannya, mengurangkan persaingan dalam sektor pembinaan termasuk mengukuhkan kedudukan pasarannya di Iskandar Malaysia melalui pengambilalihan bank tanah sedia ada IJM di Johor.
“Sunway juga akan dapat mengambil peluang ke atas limpahan daripada Laluan Rel Pantai Timur dengan Pelabuhan Kuantan IJM, sekali gus mendapat manfaat daripada aliran pendapatan dan aliran tunai berulang,” katanya lagi.
-- BERNAMA