BERITA TERKINI   Komuniti MADANI perlu berada di hadapan untuk benar-benar memahami keresahan rakyat dan melakukan intervensi - Fahmi | Krisis Bekalan Global: Sebarang dasar dilaksana secara berhati-hati, bersasar dan bersifat sementara - Akmal Nasrullah | Ketua Menteri Tamil Nadu, Vijay, melahirkan komitmen untuk memupuk kerjasama yang lebih erat, memperkukuh ikatan persahabatan dengan Malaysia | Orang ramai digalakkan muat turun aplikasi RTM Klik untuk menonton Piala Dunia FIFA 2026 secara percuma - Fahmi | Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global dijangka boleh diakses orang awam bermula 15 Mei ini - Akmal Nasrullah | 

Sarawak Perkenal Levi Karbon Ke Atas Sektor Minyak, Gas Dan Tenaga - Abang Johari

KUCHING, 13 Jan (Bernama) -- Sarawak akan memperkenalkan levi karbon ke atas kemudahan dalam sektor minyak, gas dan tenaga pada tahun ini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata hasil kutipan daripada levi itu akan disalurkan ke dalam Dana Perubahan Iklim yang dikhususkan untuk tujuan itu.

“Langkah ini bagi menyokong pelaksanaan tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, pemuliharaan hutan, pemodenan grid dan inisiatif daya tahan iklim,” katanya ketika berucap dalam Amanat Perdana Premier Sarawak 2026 hari ini.

Majlis itu diadakan bersempena dengan ulang tahun kesembilan beliau sebagai Premier Sarawak.

Sementara itu, Abang Johari berkata tahun 2026 akan menjadi tahun penentu untuk Sarawak, bagi beralih daripada fasa persediaan kepada pelaksanaan dan tahap kredibiliti yang diukur melalui hasil nyata di lapangan.

“Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, Sarawak telah menyediakan strategi, institusi dan mekanisme pembiayaan yang diperlukan untuk pembangunan secara jangka panjang.

“Pada 2026, asas-asas yang diletakkan ini mesti diterjemahkan kepada hasil yang jelas dan nyata. Projek-projek yang sedia untuk dilaksanakan mesti digerakkan secara tegas,” katanya.

Abang Johari berkata kekangan atau halangan yang timbul daripada pertindihan proses, sikap terlalu mengelak risiko atau bidang kuasa yang tidak jelas mesti ditangani dengan segera.

-- BERNAMA