Situasi Timur Tengah, Data Ekonomi AS Akan tentukan Hala Tuju Ringgit Minggu Depan
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Ringgit diunjur diniagakan berhati-hati berbanding dolar AS minggu depan berikutan sentimen pasaran terus dipengaruhi oleh perkembangan di Timur Tengah manakala pelabur akan memantau trajektori harga minyak mentah dan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang bakal diumumkan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pada minggu depan, tumpuan pasaran akan terus terarah kepada konflik Timur Tengah.
Beliau berkata data yang penting termasuk Indeks Harga Pengguna (IHP) AS dan perbelanjaan peribadi pengguna bagi Februari, namun impaknya dijangka tidak begitu dirasai kerana faktor geopolitik.
“Apa yang diharapkan pasaran adalah ketegangan konflik berkurangan, namun ini nampaknya masih sukar dicapai buat masa ini,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berpendapat pasaran kekal tertumpu kepada hala tuju harga minyak mentah dan kesannya terhadap inflasi AS dan dasar Rizab Persekutuan.
Menurutnya walaupun Malaysia menerima manfaat ekonomi daripada harga minyak yang tinggi dalam jangka pendek, ringgit tidak lagi bertindak selari seperti penanda aras minyak tradisional, dan diniagakan seperti mata wang pasaran pesat membangun yang mudah terjejas dengan turun naik pasaran.
"Sehingga pelabur menerima gambaran yang lebih jelas mengenai tempoh konflik itu, dolar AS dijangka kekal kukuh, menyebabkan ringgit lebih rendah pada paras 3.94-3.98 berbanding dolar AS," katanya.
Bagi perbandingan secara mingguan, ringgit mengakhiri minggu ini dengan rendah berbanding dolar AS apabila ditutup kepada 3.9425/9535 berbanding 3.8910/8960 pada Jumaat lepas.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama minggu ini.
Ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 2.4973/5044 semalam daripada 2.4930/4963 pada minggu sebelumnya dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.2530/2676 daripada 5.2470/2538.
Bagaimanapun, unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.5634/5762 daripada 4.5898/5957 sebelumnya.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0779/0867 daripada 3.0742/0784 pada minggu sebelumnya dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 232.9/233.6 daripada 231.7/232.2.
Ringgit bagaimanapun menokok berbanding peso Filipina kepada 6.68/6.70 daripada 6.75/6.76 sebelum ini dan mengukuh berbanding baht Thai kepada 12.3392/3810 daripada 12.5153/5370.
-- BERNAMA