BERITA TERKINI   Sebanyak 25,708 Program Jualan RAHMAH MADANI dengan lebih 27 juta transaksi pembelian direkodkan pada 2025 - PM Anwar | Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2025 akan diumumkan pada 31 Mac 2026 (Selasa) -- KPM | Kerajaan semaksimum mungkin ikhtiar harga subsidi RON95 kekal paras RM1.99 seliter supaya tidak bebankan rakyat - PM Anwar | Sebanyak 25,708 Program Jualan RAHMAH MADANI direkodkan dengan transaksi lebih RM27 juta pada 2025 - PM Anwar | Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Dua 2026 diawalkan kepada 10 Mac, libat peruntukan RM1.3 bilion - PM Anwar | 

Lufthansa Kembali Ke KLIA Selepas Hampir Sedekad, Perkukuh Ketersambungan Global Malaysia

PUTRAJAYA, 7 Mac (Bernama) -- Syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa akan menyambung semula perkhidmatan terus antara Kuala Lumpur dan Frankfurt di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula pada akhir Oktober tahun ini, menandakan kepulangannya ke Malaysia selepas hampir sedekad.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata kepulangan syarikat penerbangan itu mencerminkan usaha berterusan pengendali lapangan terbang itu untuk mengembangkan hubungan global melalui perkongsian strategik syarikat penerbangan.

"Kepulangan Lufthansa ke KLIA mencerminkan pengukuhan berterusan hubungan kita dan peningkatan permintaan untuk hubungan terus antara Malaysia dan Eropah. Perluasan perkongsian syarikat penerbangan kekal penting dalam usaha kami untuk mengembangkan rangkaian global KLIA dan menyokong cita-cita kita untuk meletakkan Malaysia sebagai negara paling terhubung di Asia Pasifik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Lufthansa akan mengendalikan lima penerbangan mingguan menggunakan Boeing 787-9 Dreamliner, yang menawarkan 287 tempat duduk merentasi kabin premium dan ekonomi, perkhidmatan baharu itu akan memperkukuh hubungan terus antara Malaysia dan Eropah, pada masa sama mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab serantau pilihan.

Ketika ini, KLIA menawarkan perkhidmatan kepada 71 syarikat penerbangan, menghubungkan penumpang ke 143 destinasi di seluruh dunia, dan kepulangan Lufthansa akan memperluaskan lagi pilihan perjalanan untuk pegembara riadah dan perniagaan.

Mohd Izani berkata ketika Tahun Melawat Malaysia 2026 semakin mendapat momentum, peningkatan ketersambungan akan memainkan peranan penting dalam menarik pengunjung, memudahkan perjalanan perniagaan dan memperkukuh peranan Malaysia sebagai pintu masuk serantau.

Lufthansa menerusi hab Frankfurt, menawarkan ketersambungan seterusnya ke destinasi utama Eropah termasuk Switzerland, Austria, Belgium, Itali dan Eropah Timur.

Perkhidmatan tui juga akan menyediakan kapasiti kargo tambahan, menyokong eksport Malaysia dan memudahkan aliran perdagangan yang lebih kukuh antara Malaysia dan Eropah.

-- BERNAMA