BERITA TERKINI   UEC: Sebarang pengiktirafan mesti berpaksi Perlembagaan Persekutuan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan - Ahmad Zahid | Pemerkasaan pendidikan tahfiz di pelbagai peringkat, bukti komitmen kerajaan bina generasi Huffaz Profesional - Ahmad Zahid | Liga Super: Kelantan TRW FC 3-2 Sabah FC | Liga Super: Terengganu FC 1-0 DPMM FC | 

MPOB Perkenal Harga Rujukan Rasmi Minyak Masak Terpakai Pada Suku Pertama 2026 -- Noraini

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) --  Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan memperkenalkan harga rujukan rasmi minyak masak terpakai (UCO) pada suku pertama 2026 dalam usaha termasuk mengelak berlakunya manipulasi harga.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata langkah itu akan memberi panduan harga lebih jelas, menyokong aspek perdagangan adil, melindungi pemain kecil daripada manipulasi harga dan penipuan selain menjadi tindakan penting ke arah pasaran UCO yang lebih teratur serta mampan.

“Minyak masak terpakai ini berperanan penting dalam usaha peralihan (menukar sisa kepada sumber yang bernilai), terutama bagi penggunaan di peringkat hiliran seperti biobahan api dan produk kimia berasaskan sawit.

“MPOB akan terus mengukuhkan tadbir urus, memberi penjejakan jelas serta maklumat pemantauan pasaran bagi memastikan UCO diuruskan secara selamat dan teratur," katanya ketika berucap sebelum merasmikan Seminar Tinjauan dan Prospek Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2026 di sini, hari ini.

Noraini berkata harga purata minyak sawit mentah telah meningkat 2.7 peratus kepada RM4,292 satu tan pada 2025 berbanding RM4,179 pada 2024.

Perolehan hasil eksport bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit pula dijangka mencecah lebih RM100 bilion pada 2025 dengan pengeluaran minyak sawit mentah menghampiri 20 juta tan.

"(Angka) ini satu pencapaian yang kukuh. Dari perspektif kerajaan, daya saing Malaysia di masa depan bergantung kepada tiga perkara utama -- produktiviti lebih tinggi, jaminan kelestarian lebih kukuh serta penerimagunaan inovasi yang pantas,” katanya.

Menyentuh prospek minyak sawit, Noraini menyifatkannya sebagai kekal cerah dengan keutamaan bagi memperkukuh produktiviti, kemampanan serta penerimagunaan secara bersama.

Pada masa sama, beliau mengingatkan kepentingan untuk Malaysia menumpukan aspek kualiti, kelestarian serta penjejakan dan tidak hanya memberi fokus kepada jumlah pengeluaran.

Seiring kepentingan itu, katanya, kerajaan akan terus memperkukuh sistem jaminannya untuk memastikan minyak sawit Malaysia kekal dipercayai dan berdaya saing.

"Saya yakin industri sawit Malaysia mempunyai masa depan kukuh serta berdaya tahan dan pertumbuhan ini perlu seiring dengan kelestarian, keterangkuman dan inovasi.

"Ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, penggiat industri, penyelidik serta pekebun kecil," katanya.

Dalam pada itu, seminar R&O anjuran MPOB yang bertemakan “Securing the Future of Palm Oil in a Changing Global Economy” (Menjamin Masa Depan Minyak Sawit Dalam Perubahan Ekonomi Global), menghimpunkan lebih  400 pakar industri dan ahli akademik bagi membincangkan prestasi pasaran pada 2025, potensi tahun ini serta strategi dan hala tuju industri minyak sawit Malaysia.

Acara itu turut menyaksikan pelancaran buku "Small Bites, Big Impact – The Red Palm Oil Biscuit Story” yang mengetengahkan hasil dapatan kajian pengambilan makanan sampingan minyak sawit merah yang dilakukan oleh MPOB menerusi kerjasama dengan Universiti Malaya.

-- BERNAMA