BERITA TERKINI   PuTERA35 jadi dasar negara martabatkan kedudukan Bumiputera - PM Anwar | Artikel 153, Dasar Bumiputera tidak akan diubah dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat - PM Anwar | Industri halal mampu pecah tembok monopoli pelbagai bidang, Bumiputera harus rebut peluang - PM Anwar | MARA bukti bidang tahfiz mampu kekalkan prestasi akademik yang baik - PM Anwar | PM Anwar arah draf pindaan Akta MARA siap dalam masa tiga bulan | 

Hala Tuju Strategik Dan Reformasi Institusi Perkukuh Keyakinan Terhadap Dasar Negara

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Pengumuman hala tuju strategik dan reformasi institusi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah peluang untuk terus memperkukuh keyakinan industri, rakyat dan pelabur terhadap dasar negara, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata pengumuman Perdana Menteri itu adalah sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI khususnya dalam meningkatkan pendapatan negara secara mampan supaya terus berdaya saing dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Selain itu, katanya, ia turut memberi fokus terhadap meneguhkan tatakelola melalui perundangan, menyediakan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap seperti adaptasi kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan bagi meringkaskan proses, sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi.

"Seterusnya ia juga meningkatkan darjat rakyat dengan jaringan perlindungan sosial yang lebih baik seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Bantuan Awal Persekolahan.

"Begitu juga pemerkasaan ekonomi yang inklusif terhadap sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan Bumiputera," katanya kepada Bernama dan RTM.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan Amanat Tahun Baharu Anwar yang disampaikan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, terdahulu, hari ini.

Amir Hamzah yakin hala tuju baharu ini dapat dicapai hasil daripada kestabilan politik serta pendekatan 'whole of nation' -- iaitu kerjasama erat antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri, rakyat, pemain industri dan penjawat awam, serta semua pihak.

-- BERNAMA