BERITA TERKINI   Petronas mengesahkan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesennya di seluruh negara adalah dijamin tersedia sehingga akhir Jun 2026 | 5E Resources mula berdagang di Pasaran ACE, dibuka pada 28 sen, iaitu premium dua sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) dengan 36.22 juta saham diniagakan | 

Kenanga IB Kekalkan Unjuran Pertumbuhan KDNK 2025 Pada 4.8 Peratus

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 pada 4.8 peratus dan mengunjurkan sederhana kepada 4.2 peratus pada 2026, disokong oleh Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan yang stabil.

Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya PMI pembuatan mencatatkan purata 49.9 pada suku keempat 2025, hampir kepada paras neutral 50.0, menunjukkan keadaan yang stabil walaupun terdapat ketidaktentuan global daripada tarif Amerika Syarikat (AS).

“Dengan pengembangan perkhidmatan yang berterusan dan permintaan domestik yang berdaya tahan, pertumbuhan KDNK dijangka kekal stabil pada suku akhir,” katanya.

Menurut bank pelaburan itu, bacaan PMI terkini, yang kekal stabil pada 50.1 pada Disember 2025, menunjukkan keadaan operasi yang stabil secara amnya meskipun terdapat ketidaktentuan berkaitan tarif yang berterusan.

“Sektor berorientasikan eksport telah mengimbangi penghantaran ke AS yang rendah dengan mengeksport barangan ke pasaran alternatif.

“Bagaimanapun, langkah berhati-hati masih perlu diambil berikutan impak daripada tarif AS yang tinggi berpotensi menjejaskan pesanan selepas musim perayaan,” katanya.

Menurut Kenanga IB, sektor elektrik dan elektronik (E&E) dijangka kekal berdaya tahan berikutan pengecualiannya daripada tarif yang tinggi.

“Industri berorientasikan domestik dijangka mendapat manfaat daripada perbelanjaan isi rumah, sokongan fiskal berterusan di bawah Belanjawan 2026 dan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.

-- BERNAMA