Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Susulan Sentimen Berhati-hati

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih rendah, susulan pelabur mula berhati-hati menjelang tarikh akhir gencatan senjata Amerika Syarikat (AS)-Iran, ditambah pula dengan tekanan jualan dalam saham wajaran tinggi kewangan terpilih.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.63 mata atau 0.33 peratus kepada 1,682.49 daripada 1,688.12 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks utama yang dibuka tinggi 3.30 mata pada paras 1,691.42, berlegar antara 1,681.61 dan 1,695.68 sepanjang sesi dagangan pagi.

Bagaimanapun, sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 568 berbanding 392, manakala 465 kaunter tidak berubah, 1,304 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 1.97 bilion unit bernilai RM1.40 bilion.

Apex Securities Bhd berkata pasaran dijangka kekal berhati-hati tetapi semakin optimis menjelang tarikh akhir gencatan senjata yang berpotensi berlkau pada 22 April depan dengan Presiden AS Donald Trump memberi isyarat bahawa rundingan AS-Iran pusingan kedua dijadual disambung semula di Pakistan dalam beberapa hari lagi.

Firma broker itu juga menyatakan bahawa China menyifatkan sekatan tentera laut di Selat Hormuz sebagai berbahaya dan tidak bertanggungjawab, manakala minyak mentah kembali susut di bawah AS$100 setong (AS$1=RM3.94) dalam persekitaran optimisme mengenai perjanjian damai itu.

"Berlatarbelakangkan ini, pasaran Malaysia dijangka kekal dipacu oleh tajuk berita utama, mengimbangi sektor tenaga yang menjadi penghalang terhadap prospek pembetulan harga minyak yang mendadak sekiranya rundingan menghasilkan kejayaan sebelum gencatan senjata tamat," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank kekal tidak berubah pada RM11.04, Public Bank susut empat sen kepada RM4.60, CIMB merosot lima sen kepada RM7.50, Tenaga Nasional berkurangan 18 sen kepada RM14.14 dan IHH Healthcare menguncup dua sen kepada RM8.73.

Bagi saham aktif, 5E Resources yang baru disenaraikan di Pasaran ACE naik satu sen kepada 27 sen, manakala MMAG susut setengah sen kepada 3.5 sen. Zetrix AI meningkat 2.5 sen kepada 79.5 sen, AirAsia X naik empat sen kepada RM1.23 dan Capital A menokok 1.5 sen kepada 45 sen.

Kaunter paling untung menyaksikan Malaysian Pacific Industries menokok RM1.28 kepada RM31.92, Dutch Lady menambah 20 sen kepada RM32, Hong Leong Industries melonjak 32 sen kepada RM17.06, Malayan Cement serta Fraser and Neave naik 26 sen masing-masing kepada RM6.86 dan RM30.06.

Selain Tenaga Nasional, antara kaunter paling rugi ialah Petronas Gas turun 26 sen kepada RM18, PPB Group merosot 22 sen kepada RM11.58, Petronas Chemicals berkurangan 21 sen kepada RM5.69 dan MISC berkurangan 16 sen kepada RM8.20.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 10.48 mata kepada 12,241.41, Indeks FBM Emas turun 4.96 mata kepada 12,401.29, Indeks FBM Mid 70 naik 116.39 mata kepada 17,492.65, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 14.29 mata kepada 12,326.88 dan Indeks FBM ACE menokok 31.12 mata kepada 4,498.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 35.51 mata kepada 19,637.36, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.33 mata kepada 187.32, Indeks Perladangan turun 38.25 mata kepada 8,902.53, manakala dan Indeks Tenaga merosot 3.32 mata kepada 820.21.

-- BERNAMA