BERITA TERKINI   Notis pemakluman rasmi kekosongan kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji sudah diserah kepada SPR - Speaker DUN Perlis | 

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Berikutan Aktiviti Pengambilan Untung

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) --  Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih rendah berikutan aktiviti pengambilan untung muncul terhadap saham mewah terpilih dalam persekitaran kekurangan pemangkin baharu.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 4.93 mata atau 0.29 peratus kepada 1,672.17 daripada 1,677.10 semasa ditutup Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.21 mata kepada 1,677.31, berlegar antara 1,671.07 dan 1,680.51 pada sesi dagangan berkenaan.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 574 berbanding 267 manakala 530 kaunter tidak berubah, 530 kaunter tidak diniagakan dan 58 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.07 bilion unit bernilai RM700.58 juta.

Public Investment Bank Bhd berpendapat pelabur institusi kebanyakannya telah menjual saham mereka atau melunaskan kontrak dagangan untuk merekodkan keuntungan atau kerugian sebelum tahun berakhir, memandangkan sesi dagangan tahun ini hanya berbaki beberapa hari sahaja.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM10.36, Public Bank merosot enam sen kepada RM4.46, CIMB tidak berubah pada RM8.15, Tenaga Nasional meningkat dua sen kepada RM13.68 dan IHH turun empat sen kepada RM8.55.

Bagi saham paling aktif, Pharmaniaga tidak berubah pada 30 sen, Tanco naik satu sen kepada RM1.14, Insight Analytics melonjak 11 sen kepada RM1.06, manakala Zetrix turun setengah sen kepada 81 sen.

Saham paling untung menyaksikan Nestle naik RM1.50 sen kepada RM116.50, BLD Plantation meningkat RM1.46 kepada RM15.88, Dutch Lady melonjak 52 sen kepada RM30.62, Hong Leong Bank menambah 14 sen kepada RM22.56 dan LSH menokok 10 sen kepada RM2.02.

Antara saham paling rugi, Allianz merosot 14 sen kepada RM20.20, MISC turun 23 sen kepada RM7.63, Malaysian Pacific menguncup 12 sen kepada RM32.48, Ajinomoto berkurangan 10 sen kepada RM13.66 dan Kelington susut sembilan sen kepada RM5.17.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 28.48 mata kepada 12,259.66, Indeks FBMT 100 turun 28.87 mata kepada 12,061.80 dan Indeks FBM Emas Shariah kurang 16.68 mata kepada 12,088.93, Indeks FBM ACE menguncup 11.03 mata kepada 4,848.76 dan Indeks FBM 70 merosot 10.27 mata kepada 16,792.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 77.35 mata kepada 19,551.03, Indeks Perladangan susut 5.54 mata kepada 8.293.98, Indeks Tenaga turun 2.51 mata kepada 763.26 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.02 mata kepada 174.01.

-- BERNAMA