Ringgit Ditutup Rendah Berikutan Aktiviti Pengambilan Untung
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS pada Isnin, berikutan aktiviti pengambilan untung serta ketiadaan pemangkin baharu bagi pasaran.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.0770/0800 berbanding dolar AS 4.0740/0785 pada penutup dagangan Jumaat lepas, ketika ringgit mencatat paras tertinggi hampir enam tahun.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit memerlukan pemangkin baharu untuk menghampiri kenaikan seterusnya.
“Ringgit bergerak dalam julat sempit antara RM4.0750 dan RM4.0813 hari ini. Mungkin para peniaga dan pelabur sedang menilai paras semasa ringgit dan potensi pergerakannya pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata para peniaga juga akan memantau data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat bagi suku ketiga 2025 yang dijangka diumumkan pada 23 Disember.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding euro kepada 4.7827/7862 daripada 4.7715/7767 pada Jumaat lepas, merosot berbanding pound Britain kepada 5.4750/4790 daripada 5.4514/4574, tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5896/5916 daripada 2.5909/5940.
Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding rakan ASEAN.
Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1592/1618 daripada 3.1515/1553, merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0740/0895 daripada 12.9428/9620, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 242.9/243.3 daripada 243.2/243.6, dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.94/6.95.
-- BERNAMA