BERITA TERKINI   Penerbangan MH8110 bawa 278 jemaah haji terpaksa mendarat di Oman susulan isu teknikal- TH | 

ADB, Jepun Lancar Inisiatif ACCEL Bagi Perkukuh Keselamatan Tenaga Berikutan Kenaikan Harga

KUALA LUMPUR, 4 Mei  (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Jepun memulakan Tindakan untuk Mewujudkan Keselamatan Tenaga bagi Daya Tahan Jangka Panjang (ACCEL), sebuah inisiatif bersama yang menyokong negara dan perniagaan di Asia dan Pasifik menghadapi kenaikan harga tenaga.

Presiden ADB Masato Kanda berkata dengan pasaran tenaga yang kini berada di bawah tekanan, negara di rantau itu memerlukan sokongan yang dapat menangani tekanan segera di samping menyediakan asas untuk daya tahan jangka panjang.

“Kami berterima kasih di atas kerjasama Jepun yang akan membantu perniagaan di rantau ini untuk terus bertahan sambil menyokong peralihan kepada sistem tenaga yang lebih kukuh dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran ACCEL di mesyuarat tahunan ADB di Samarkand, Uzbekistan, hari ini.

Sementara itu, Menteri Kewangan Jepun Satsuki Katayama berkata di bawah ACCEL, Jepun berhasrat untuk menggunakan pengetahuan dan teknologinya bagi memupuk pertumbuhan yang lebih besar di seluruh rantau Asia Pasifik.

“Inisiatif ini bertujuan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat konflik, di samping mempromosikan transformasi struktur tenaga di negara-negara anggota yang sedang membangun,” katanya.

ACCEL akan menggunakan pendekatan dua hala yang mana bagi jangka masa pendek, ia akan menyokong mudah tunai korporat termasuk melalui bantuan teknikal terutamanya untuk PKS.

Bagi jangka sederhana hingga panjang, ia akan menyokong peralihan ke arah sistem tenaga yang lebih pelbagai dan mampan, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi dan tenaga di seluruh Asia dan Pasifik.

Di bawah inisiatif itu, ADB menyatakan yang ia akan mengerahkan instrumen pembiayaan sedia ada sebagai tindak balas kepada permintaan.

Ini termasuk pinjaman pengantaraan kewangan, talian kredit, jaminan dan pinjaman berasaskan dasar untuk menyalurkan sokongan kepada perusahaan yang menghadapi keperluan pembiayaan yang meningkat serta terus membantu memperkukuh persekitaran yang kondusif kepada PKS.

Menurut ADB, langkah seumpama itu akan membantu mengekalkan aktiviti perniagaan, melindungi pekerjaan dan menyokong kestabilan ekonomi di negara-negara yang terjejas.

Bagi Jepun pula, ia akan menyokong usaha-usaha berkenaan melalui dana amanah kendalian ADB, yang membantu mempercepatkan penyediaan dan pelaksanaan projek serta sokongan pengetahuan.

Selain itu, ia akan menyelaras kerjasama dengan institusi kewangan pembangunan seperti Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Bank Kerjasama Antarabangsa Jepun (JBIC) bagi meningkatkan sinergi, memastikan saling melengkap antara satu sama lain dan memaksimumkan impak pembangunan.

-- BERNAMA