Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Seiring Kenaikan Di Pasaran Minyak Mentah, Minyak Kacang Soya
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini seiring dengan peningkatan dalam pasaran minyak mentah dan minyak kacang soya, kata peniaga.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 2.04 peratus kepada US$110.05 setong.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata jangkaan paras stok yang lebih rendah untuk tempoh sebulan lagi turut dijangka menyokong pasaran dalam masa terdekat.
“Kami melihat paras sokongan melebihi RM4,550 satu tan dan rintangan pada RM4,680 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, kontrak Mei 2026, Jun 2026 dan Ogos 2026 masing-masing meningkat RM50 kepada RM4,554, RM4,590 dan RM4,638 satu tan.
Kontrak Julai 2026 naik RM52 kepada RM4,622 satu tan, September 2026 menokok RM47 kepada RM4,646 satu tan dan Oktober 2026 menambah RM42 kepada RM4,651 satu tan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 53,253 lot daripada 84,955 lot Khamis lepas manakala kepentingan terbuka menokok kepada 264,144 kontrak daripada 259,891 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan meningkat RM50 kepada RM4,600 satu tan.
-- BERNAMA