Kepercayaan Awam Terhadap Cukai 2025: Asia Dan Sejagat - Malaysia Tertinggi Di Peringkat Global
Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Malaysia muncul sebagai negara yang tertinggi di peringkat global dari segi kepercayaan orang ramai berhubung sistem percukaian, disokong oleh tahap keyakinan yang kukuh terhadap profesion perakaunan dan peningkatan berterusan hasil pendigitalan, menurut dapatan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
Ketua Percukaian dan Undang-Undang Perniagaan ACCA Jason Piper yang juga pengarang global Public Trust in Tax 2025: Asia and Beyond (Kepercayaan Awam Terhadap Cukai 2025: Asia dan Sejagat), berkata dapatan paling ketara bagi Malaysia adalah apabila tahap kepercayaan yang diberikan kepada akauntan profesional mencatatkan skor 79 peratus, iaitu yang tertinggi di seluruh dunia.
Beliau menyifatkan akauntan di Malaysia sebagai “teras kepercayaan” dalam ekosistem percukaian.
“Memandangkan sistem percukaian menjadi semakin kompleks dengan pelaksanaan e-Invois, kepercayaan ini merupakan aset kepada ekonomi negara.
“Ia bermaksud pembayar cukai bergantung kepada golongan profesional untuk membantu mereka mematuhi keperluan percukaian dengan betul, yang akhirnya memberi manfaat kepada asas hasil negara,” katanya kepada Bernama.
Public Trust in Tax 2025: Asia and Beyond merupakan laporan baharu yang diterbitkan oleh ACCA, Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC), Akauntan Bertauliah Australia dan New Zealand (CA ANZ) serta Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Piper berkata akauntan berperanan sebagai “perantara kepercayaan”, memandangkan mereka merupakan sumber maklumat yang paling dipercayai, sekali gus merapatkan jurang antara undang-undang percukaian yang kompleks dengan pembayar cukai.
“Bagi memastikan sistem percukaian berfungsi dengan cekap, khususnya semasa pelaksanaan pembaharuan seperti e-Invois, pembayar cukai memerlukan lapisan profesional yang dipercayai untuk memastikan pematuhan adalah tepat dan beretika,” katanya.
Menurut dapatan itu, 60 peratus rakyat Malaysia melihat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memainkan peranan yang “seimbang”, dengan menyediakan perkhidmatan dan sokongan di samping penguatkuasaan. Ini berbeza dengan banyak negara di Barat atau Amerika Latin, di mana pihak berkuasa cukai sering ditakuti kerana peranan utamanya sebagai penguatkuasa.
Ini kata beliau, sebahagian besarnya didorong oleh penglibatan digital, dengan menekankan pelaburan Malaysia dalam infrastruktur percukaian digital membuahkan hasil apabila pematuhan menjadi lebih mudah dan kepercayaan digital bertambah baik.
Memandangkan kerajaan berusaha untuk memperluas asas percukaian, sentimen rakyat Malaysia kekal berdaya tahan, disokong oleh 51 peratus responden yang bersetuju bahawa hasil cukai digunakan untuk kepentingan awam.
“Walaupun ini menunjukkan masih ada ruang untuk penambahbaikan, ia adalah jauh lebih tinggi berbanding di Eropah Barat, di mana tahap persetujuan sering jauh lebih rendah disebabkan keraguan terhadap penyampaian perkhidmatan awam.
“Ini menunjukkan ‘kontrak fiskal’ — perjanjian di mana rakyat membayar cukai sebagai pertukaran untuk perkhidmatan — kekal utuh di Malaysia, tetapi ia mesti dilindungi melalui pulangan pelaburan yang nyata untuk pembayar cukai,” katanya.
Pada masa yang sama, Piper berkata pembayar cukai di Malaysia bersedia menyokong ‘cukai hijau’ untuk memacu hasil yang mampan.
Beliau menambah, ini memberi mandat kepada kerajaan untuk bertindak berani dengan dasar-dasar cukai berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kerana kerajaan mengetahui rakyat secara amnya menyokong penggunaan alat fiskal untuk menangani perubahan iklim.
Piper berkata pada masa hadapan, pembuat dasar di Malaysia perlu memanfaatkan kepercayaan digital dan terus melayani pembayar cukai sebagai rakan kongsi dalam membiayai masyarakat, bukannya sekadar subjek kepada percukaian semata-mata.
Mereka juga perlu memanfaatkan tahap kepercayaan awam yang tinggi terhadap profesion perakaunan, bersama dengan ketelusan yang lebih besar untuk membantu menangani kebimbangan berkaitan rasuah
-- BERNAMA