BERITA TERKINI   Malaysia mohon sokongan Mesir untuk misi bantuan kemanusiaan 2026 di sempadan Rafah tidak lama lagi - PM Anwar | Malaysia komited perkukuh hubungan dua hala dengan Mesir ke tahap perkongsian strategik | 

99.27 Peratus Pemegang Saham Undi Setuju Bagi Pengambilalihan Sunway-IJM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Pemegang saham Sunway Bhd (Sunway) hampir sebulat suara mengundi ‘ya’ bagi tawaran pengambilalihan syarikat itu ke atas IJM Corp Bhd dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini. 

Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata 99.27 peratus pemegang saham Sunway bersetuju agar syarikat itu meneruskan bidaan pengambilalihan tersebut.

Beliau berkata kumpulan tersebut turut menerima surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ‘membersihkannya’ daripada siasatan terhadap tawaran pengambilalihan itu. 

“Kami tidak menolak pemegang saham IJM. Kami membayar mereka 10 peratus secara tunai dan 90 peratus dalam bentuk saham.

“Pemegang saham (IJM), Bumiputera atau sebaliknya, masih bersama kami dalam syarikat yang lebih besar di Sunway,” katanya dalam sidang media selepas EGM itu.

Cheah berkata harga tawaran RM3.15 sesaham adalah yang terbaik ditawarkan oleh Sunway, dan ia akan dibatalkan jika pemegang saham IJM memilih untuk tidak menerimanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Sunway berkata harga sasaran penganalisis bagi IJM adalah antara RM2.60 hingga RM3.84 setakat 25 Mac 2026, secara amnya lebih hampir dengan paras pasaran semasa, manakala sesetengah peserta pasaran menganggap tawarannya sebagai menyediakan premium segera sebanyak 32 peratus dengan potensi peningkatan.

Katanya, walaupun IJM merancang untuk meningkatkan nilai itu, termasuk kemungkinan penyenaraian aset jalan tol dan anak syarikatnya yang lain, kejayaan inisiatif itu bergantung kepada faktor seperti kualiti aset, keadaan pasaran, selera pelabur dan pelaksanaan. 

“Sunway yakin cadangan tawaran itu memberikan peluang yang menarik bukan sahaja dari segi nilai serta-merta, tetapi dari segi potensi masa depan di bawah kepimpinan yang lebih kukuh dan terbukti,” katanya. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Sunway berkata cadangan pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh semua saham biasa dalam IJM akan dipenuhi sebanyak 10 peratus secara tunai dan 90 peratus dalam saham Sunway.

-- BERNAMA