China Market Lancar Pusat Beli-belah Digital Di Malaysia Selaku Hab ASEAN

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- China Market memilih Malaysia sebagai habnya di ASEAN, sekali gus membuka peluang kepada produk perindustrian China menembusi pasaran Asia Tenggara.

Pada masa sama, ia membolehkan jenama Malaysia meneroka pasaran China menerusi Market Express Channel, berikutan pelancaran rasmi pusat beli-belah digital luar negara China Market di Malaysia.  

Pusat beli-belah digital yang dibangunkan dan dikendalikan oleh Shendu Digital Science & Technology Group itu dilancarkan pada acara pemadanan ‘Direct Sourcing, Smart Saving’ - Linyi Mall - pusat beli-belah digital luar negara China Market di Malaysia, di sini baru-baru ini. 

Platfrom itu memasuki pasaran Malaysia dengan menggunakan model perdagangan digital pihak keempat borong kepada borong (W2W), yang menghubungkan secara langsung dengan kilang sumber dari zon industri di China dengan pasaran borong luar negara dan pengeluar. 

“Inisiatif ini menjadikan Malaysia sebagai hab baharu ASEAN bagi sumber perolehan secara langsung, meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam perdagangan merentas sempadan,” kata Shendu Digital Science & Technology Group dan China Market dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Pengurus Besar Perniagaan Luar Negara China Market Yu Ligang berkata Malaysia dipilih sebagai destinasi pertama platform itu kerana lokasinya yang strategik iaitu di tengah-tengah ASEAN. 

“Walaupun, sebelum ini China Market telah menubuhkan Pavilion Indonesia dan menjalankan perniagaan di Australia dan New Zealand, pelancaran di Malaysia menandakan pelaksanaan penuh pertama platform perdagangan digital pihak keempatnya di luar negara,” tambahnya. 

Menurut kenyataan itu, buat permulaan, China Market akan memberi keutamaan kepada sektor makanan di Malaysia, sebelum diperluaskan ke dalam kategori makanan tambahan dan sektor lain seperti makanan dan minuman, hospitaliti, pembinaan serta industri berkaitan. 

Platform itu turut mendapat sokongan ekosistem pasaran borong Linyi China di Wilayah Shandong, yang mempunyai lebih 10,000 pembekal dan kira-kira 250,000 produk. 

Sementara itu, Wisepost Solutions Sdn Bhd yang diterajui oleh Pengasas dan Pengerusinya, Adrian Pan adalah rakan kongsi utama dalam menyelaraskan hubungan antara semua pembekal dan pasaran luar negara. 

Pan berkata jumlah dagangan domestik Linyi adalah enam kali ganda lebih besar daripada Yiwu, mencerminkan rantaian perindustriannya yang komprehensif dan peranannya sebagai pangkalan bekalan huluan bagi kebanyakan pasaran utama di seluruh China. 

“Matlamat kami adalah mudah, untuk menjadikan produk berkualiti global lebih mudah diakses dan sumber global mudah diperolehi,” kata Pan. 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Wisepost Solutions Ygene Poon berkata inisiatif China Market Malaysia menyasarkan tiga cabaran perdagangan utama rentas sempadan, iaitu jurang maklumat, yang diatasi menerusi kecerdasan buatan dan pemadanan data raya yang menghubungkan pembeli serta pembekal yang sesuai dengan cekap. 

Inisiatif kedua ialah halangan kepercayaan yang dikendalikan dengan rangka kerja kerjasama kebolehpercayaan tinggi yang disokong oleh perusahaan milik negara dan modal negara. 

Akhirnya, yang ketiga merupakan sokongan lepas jualan, yang disampaikan menerusi model ‘tiga dalam satu’, apabila rakan kongsi tempatan bertindak sebagai pembeli, pengguna dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan penyelenggaraan serta sokongan setempat. 

-- BERNAMA