MyCEB Tonjol Kelebihan Malaysia Di IMEX Frankfurt 2026
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sekali lagi mewakili Malaysia di IMEX Frankfurt 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi utama acara perniagaan global.
MyCEB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pameran perdagangan antarabangsa itu berlangsung dari 19 hingga 21 Mei di Messe Frankfurt, Jerman.
"Diiktiraf sebagai salah satu platform terkemuka di dunia bagi aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), IMEX Frankfurt menyatukan destinasi, biro konvensyen, tempat, hotel dan penyedia perkhidmatan dari seluruh dunia," jelasnya.
MyCEB menambah edisi 2026 dijangka menampilkan lebih daripada 3,000 pameran global dan lebih 12,000 profesional industri, termasuk kira-kira 4,000 pembeli hos dari lebih 150 buah negara.
"Penyertaan berterusan MyCEB mengukuhkan lagi komitmennya dalam meletakkan Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan yang kompetitif dan menjadi pilihan utama di Asia.
"Sejak penyertaan sulung pada 2011, MyCEB secara konsisten memanfaatkan platform ini untuk berinteraksi dengan pembeli antarabangsa, memperkukuh kerjasama industri dan menonjolkan kemampuan Malaysia yang kian berkembang dalam menganjurkan acara bertaraf dunia," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Tan Mei Phing berkata IMEX Frankfurt 2026 menyediakan platform strategik untuk biro berkenaan berinteraksi secara langsung dengan komuniti acara perniagaan global, memperkukuh hubungan sedia ada dan meneroka peluang baharu bagi Malaysia.
Kenyataan itu menambah pengunjung ke Pavilion Malaysia bakal menyaksikan siri libat urus berimpak tinggi yang disusun khas untuk menonjolkan pelbagai tawaran dan keupayaan Malaysia.
"Ini termasuk pelancaran rasmi Pavilion Malaysia, yang menandakan bermulanya penyertaan Malaysia di IMEX Frankfurt 2026.
"Pavilion itu juga akan menampilkan kemunculan maskot beruang matahari Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, Wira dan Manja, yang akan memperkenalkan inisiatif pelancongan negara yang akan datang,” katanya.
Sepanjang pameran tiga hari itu, MyCEB akan mengendalikan siri sesi padanan perniagaan dengan pembeli antarabangsa bagi meneroka potensi kerjasama dan menempah acara masa hadapan untuk Malaysia.
Siri libat urus ini akan menyediakan peluang berharga kepada pihak berkepentingan untuk mendapatkan gambaran yang lebih mendalam mengenai infrastruktur, kepelbagaian tempat dan rekod prestasi Malaysia yang terbukti dalam menganjurkan acara perniagaan antarabangsa.
-- BERNAMA