BERITA TERKINI   Kekangan logistik, keperluan latihan faktor utama PRN Johor dan Negeri Sembilan tidak diadakan serentak - SPR | PRN Johor: Seramai 2,727,926 individu layak mengundi - SPR | PRN Negeri Sembilan: Seramai 889,490 individu layak mengundi - SPR | PRN Negeri Sembilan diadakan pada 1 Ogos, penamaan 18 Julai - SPR | 216 penggiat industri kreatif terima sumbangan berjumlah RM164,256 menerusi program Ziarah Seni MADANI FINAS sejak 2023 - Teo | 

Unit Gamuda Raih Dua Kontrak EPC Di Australia Bernilai RM3.12 Bilion

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- DT Infrastructure, anak syarikat milik penuh Gamuda Bhd di Australia, meraih dua kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bernilai AU$1.1 bilion (kira-kira RM3.12 bilion) untuk pembinaan stesen jana kuasa solar Smoky Creek dan Guthrie’s Gap.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju tersebut menyatakan kontrak Projek Stesen Jana Kuasa Solar Smoky Creek yang bernilai AU$550 juta (kira-kira RM1.56 bilion) itu dimeterai dengan Smoky Creek Solar Power Station Pty Ltd.

Sementara itu, kontrak EPC untuk Projek Stesen Jana Kuasa Solar Guthrie’s Gap, yang bernilai AU$550 juta (kira-kira RM1.56 bilion), ditandatangani dengan Guthrie’s Gap Solar Power Station Pty Ltd.

“DT Infrastructure akan menyediakan perkhidmatan EPC untuk Stesen Jana Kuasa Solar Smoky Creek dan Guthrie’s Gap, termasuk mereka bentuk, perolehan, pembinaan, pengujian dan pentauliahan bagi penjanaan solar, sistem penyimpanan tenaga bateri dan infrastruktur sokongan loji yang berkaitan.

“Syarikat itu juga akan menyediakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan berterusan untuk kedua-dua aset tersebut selepas siap, bagi menyokong prestasi dan kebolehpercayaan aset jangka panjang,” menurutnya.

Kedua-dua kontrak berkenaan akan disiapkan dalam tempoh 30 bulan.

Menurut Gamuda, projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai, 2026 dan seterusnya, sehingga projek berkenaan siap.

-- BERNAMA