Bursa Malaysia Perkenal Platform CSI Untuk Pendedahan Kemampanan
KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd memperkenalkan format pendedahan kemampanan yang dipertingkatkan melalui platform Perisikan Kelestarian Berpusat (CSI), sebagai antara usaha untuk memperkukuh penjajaran dengan piawaian pendedahan antarabangsa.
Platform ini diwujudkan untuk pelaporan kemampanan dan membolehkan penerbit tersenarai untuk memperkemas pelaporan kemampanan mengikut piawaian global sekali gus menyokong peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon.
“Menerusi keperluan penyenaraian Pasaran Utama dan keperluan penyenaraian Pasaran ACE yang disemak semula, dipinda pada 23 Dis 2024 bagi mencerminkan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (NSRF), syarikat di Pasaran Utama dan Pasaran ACE diwajibkan untuk mengguna pakai Piawaian Pendedahan Kelestarian IFRS melalui platform CSI.
“Akses kepada format pelaporan mandatori ini akan disediakan secara percuma,” menurut Bursa Malaysia dalam kenyataan hari ini.
Platform pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus sebelum ini telah dinyahaktifkan dan platform CSI akan berperanan sebagai saluran rasmi yang mematuhi format yang ditetapkan oleh bursa.
"Penerbit tersenarai di Pasaran Utama dan Pasaran ACE perlu mengakses platform CSI untuk menjana format ditetapkan yang memerlukan ringkasan data untuk metrik dan sasaran, yang kemudiannya perlu dinyatakan dalam penyata kemampanan masing-masing, tanpa sebarang pengubahan," katanya.
Bagi membantu penerbit tersenarai memahami ciri dan fungsi format yang ditetapkan, Bursa Malaysia akan mengadakan sesi suai tugas secara maya pada 19 Dis 2025.
-- BERNAMA