Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Dipengaruhi Sentimen Lemah Serantau
KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia menyusut pada sesi pagi berikutan pelabur mengambil keuntungan menjelang pengumuman keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) lewat hari ini, seiring prestasi serantau yang hambar.
FBM KLCI turun 4.71 mata atau 0.29 peratus kepada 1,609.46 pada 12.30 tengah hari, selepas dibuka 3.13 mata lebih rendah pada 1,611.04.
Indeks penanda aras itu bergerak dalam julat 1,606.11 hingga 1,611.04 sepanjang sesi pagi selepas ditutup pada paras 1,614.17. pada Selasa.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 446 berbanding 389, manakala 541 kaunter tidak berubah, 1,373 tidak diniagakan dan 12 digantung.
Jumlah dagangan pasaran berjumlah 2.55 bilion saham bernilai RM1.09 bilion.
Di peringkat serantau, Indeks Komposit SSE China turun 0.72 peratus kepada 3,881.51, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.43 peratus kepada 25,325.05, Indeks Straits Times Singapura berkurangan 0.32 peratus kepada 4,498.59, manakala Nikkei 225 Jepun merosot 0.10 peratus kepada 50,603.98.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI dijangka kekal lemah menjelang keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS.
Mesyuarat dasar dua hari FOMC itu bermula semalam dan dijangka berakhir hari ini.
"Analisis daripada Chicago Mercantile Exchange FedWatch Tool menunjukkan kebarangkalian 87.6 peratus berlakunya pengurangan kadar faedah, namun penggubal dasar masih berkemungkinan memilih ‘pengurangan bersifat berwaspada’ berikutan petunjuk pasaran buruh yang lebih kukuh serta kekurangan data baharu selepas penutupan kerajaan,” kata firma itu.
Ia berkata hala tuju pasaran dijangka lebih jelas hanya selepas pengumuman keputusan Fed.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM10.10, Public Bank naik satu sen kepada RM4.38, CIMB Group susut empat sen kepada RM7.81, IHH Healthcare turun 12 sen kepada RM8.41, manakala Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM12.74.
Bagi saham aktif, Velesto Energy menambah dua sen kepada 27.5 sen, Zetrix AI meningkat 3.5 sen kepada 84 sen, Borneo Oil kekal pada setengah sen, Lac Med, yang baharu disenaraikan di Pasaran Utama naik dua sen kepada 77 sen, dan TWL Holdings tidak berubah pada 2.5 sen.
Kaunter untung teratas termasuk DKSH yang naik 66 sen kepada RM5.93; Dutch Lady meningkat 34 sen kepada RM30.34; Allianz Malaysia menambah 32 sen kepada RM19.98; Petronas Dagangan naik 24 sen kepada RM19.22; dan UWC naik 20 sen kepada RM3.97.
Antara kaunter rugi teratas, BLD Plantation susut 50 sen kepada RM16.00, Hong Leong Industries turun 30 sen kepada RM15.70, Fraser & Neave berkurangan 20 sen kepada RM35.00, Press Metal merosot 13 sen kepada RM6.71, dan Telekom Malaysia susut 11 sen kepada RM7.69.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 23.52 mata kepada 11,909.68, Indeks FBM Emas Shariah susut 13.87 mata kepada 11,780.80, Indeks FBMT 100 merosot 27.71 mata kepada 11,693.27, Indeks FBM ACE turun 27.80 mata kepada 4,726.49, dan Indeks FBM 70 susut 10.56 mata kepada 16,653.94.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 34.58 mata kepada 18,895.60, Indeks Perladangan merosot 11.06 mata kepada 8,070.52, manakala Indeks Tenaga naik 3.38 mata kepada 755.31 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.11 mata kepada 166.59.
-- BERNAMA