BERITA TERKINI   Ejen-ejen pemungut tidak mempunyai peranan dalam pemungutan melalui saluran rasmi JPJ - KP JPJ | Pelantikan ejen-ejen pemungut JPJ dilaksanakan sejak 2016, 10 ejen dilantik setakat hari ini - KP JPJ | Saman tertunggak tidak jejaskan kelayakan subsidi petrol BUDI95 - Loke | SPR terima pemakluman kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag susulan kematian Bung Moktar | 

Pelabur Asing Kembali Ke Bursa Malaysia, Catat Belian RM11.6 Juta Minggu Lepas - MBSB IB

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Pelabur asing mengakhiri jualan bersih selama dua minggu berturut-turut di Bursa Malaysia apabila kembali semula sebagai pembeli bersih dengan pembelian bernilai RM11.6 juta.

Mengikut Laporan Aliran Dana MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) bagi minggu berakhir 5 Disember 2025, aliran masuk dana paling ketara dicatatkan pada 2 Disember yang berjumlah RM155.7 juta dan diikuti pada Isnin RM58.0 juta serta Rabu berjumlah RM50.5 juta.

“Khamis dan Jumaat menyaksikan jualan bersih asing masing-masing sebanyak RM80.3 juta dan RM172.3 juta,” katanya.

Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing pada minggu lepas adalah perkhidmatan kewangan berjumlah RM532.0 juta, produk dan perkhidmatan industri sebanyak RM83.0 juta serta telekomunikasi dan media sebanyak RM58.6 juta.

Sebaliknya, tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing merangkumi utiliti sebanyak RM351.9 juta, penjagaan kesihatan sebanyak RM108.1 juta dan teknologi berjumlah RM86.7 juta.

Selain itu, bagi minggu kedua berturut-turut menyaksikan institusi tempatan mencatat aliran masuk bersih berjumlah RM83.0 juta manakala peruncit tempatan beralih sebagai penjual bersih dengan aliran keluar RM94.6 juta.

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) pula menunjukkan penurunan secara menyeluruh dengan peruncit tempatan berkurangan 3.3 peratus manakala institusi tempatan turun 20.6 peratus dan pelabur asing juga susut 28.8 peratus.

Di peringkat serantau, pelabur asing turut mengakhiri jualan bersih asing selama empat minggu berturut-turut dengan melakukan aliran masuk asing bersih berjumlah US$1.45 bilion (US$1 = RM4.11).

“Hanya India dan Filipina menyaksikan aliran keluar dana manakala lainnya aliran masuk, didahului oleh Taiwan dan seterusnya Korea Selatan, Vietnam, Indonesia serta Thailand,” katanya.

Taiwan juga meneruskan minggu kedua berturut-turut dari segi belian bersih atau aliran masuk asing yang berjumlah US$1.28 bilion.

Korea Selatan juga menyaksikan aliran masuk asing bersih US$1.14 bilion, sekali gus mengakhiri jualan bersih selama empat minggu berturut-turut .

“Indonesia terus menyaksikan aktiviti belian selama sembilan minggu berturut-turut dengan belian bersih asing bernilai US$149.4 juta,” katanya.

-- BERNAMA