BERITA TERKINI   GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADE  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | 

Penerbangan Terus Johor Bahru–Kunming Beri Rangsangan Kepada Tahun Melawat Malaysia 2026

 

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

BEIJING, 5 Dis (Bernama) -- Penerbangan terus antara Johor Bahru dan Kunming akan menyumbang secara positif kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), kata Konsul Jeneral Malaysia di Kunming Muhamad Akmal Abdul Wahab. 

Beliau berkata kesalinghubungan yang meningkat dengan Kunming, ibu negeri wilayah Yunnan di barat daya China, yang akan bermula hujung minggu depan, akan turut memperkukuh hubungan Malaysia-China selain jalinan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara.

“Kesalinghubungan yang meningkat bukan sahaja akan menggalakkan pelancongan, malah sektor lain seperti perdagangan, pelaburan dan pendidikan,” katanya kepada Bernama. 

Bulan lepas, AirAsia Malaysia mengumumkan pelancaran sektor Johor Bahru-Kunming, bermula 14 Dis 2025. Tiga penerbangan mingguan antara Johor Bahru dan Kunming akan melengkapkan 14 penerbangan mingguan syarikat penerbangan itu dari Kuala Lumpur ke Kunming.

Muhamad Akmal berkata laluan baharu itu bukan sahaja menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengunjungi Yunnan, malah membolehkan penduduk di wilayah itu meneroka pelbagai tempat di Malaysia.

Katanya pergerakan antara rakyat telah menjadi antara kekuatan selama lebih setengah abad hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Bernama sebelum ini melaporkan bahawa Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata penerbangan terus antara Malaysia dan beberapa wilayah di China dijangka meningkat bagi memenuhi permintaan perjalanan yang tinggi.

Beliau menegaskan bahawa kemudahan pengecualian visa antara Malaysia dan China, yang berkuat kuasa pada 17 Julai 2025, telah memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat dan menjadi pemangkin penting kepada VM2026. 

Pada 2024, Malaysia menyaksikan peningkatan 123 peratus untuk ketibaan pelancong China berbanding 2023, menjadikan China sebagai pasaran penting bagi Malaysia dalam sektor pelancongan.

VM2026 bertemakan “Malaysia Truly Asia” dan “Surreal Experiences”. 

-- BERNAMA