Aspek Pematuhan Syariah BNPL Perlu Diteliti Lebih Mendalam - AKPK
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) – Struktur kontrak dan operasi syarikat yang menawarkan perkhidmatan ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) perlu dikaji dengan teliti bagi mendapatkan maklumat jelas mengenai status kepatuhan syariah transaksi itu, kata Ketua Jabatan Pembangunan Penyelidikan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohammad Mafrukhin Mokhtar.
Beliau berkata beberapa elemen berkaitan pematuhan syariah, khususnya struktur kontrak pembelian dalam perkhidmatan kewangan baharu BNPL, masih memerlukan penelitian yang lebih mendalam.
“Barangan yang dibeli mungkin halal, tetapi struktur kontrak dan syarikat yang mengendalikannya perlu diteliti.
“Ia belum mencapai tahap membimbangkan, namun wajar diberi perhatian,” katanya selepas majlis pelancaran Laporan Kajian Literasi Kewangan Islam 2025 yang merupakan anjuran bersama AKPK dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) semalam.
Terdahulu, Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia (BNM) pada mesyuarat ke-220 telah memutuskan bahawa kemudahan BNPL adalah dibenarkan, selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Bagaimanapun, syarat kemudahan tersebut perlu distrukturkan berdasarkan kontrak syariah yang sesuai bagi memelihara hak dan tanggungjawab pihak-pihak yang berkontrak.
Menurutnya, ketiadaan data komprehensif pada masa ini menyukarkan penilaian muktamad terhadap potensi risiko BNPL, sekali gus menunjukkan keperluan penyelidikan lanjutan untuk memahami tingkah laku pengguna dan implikasinya dalam kerangka kewangan Islam.
Beliau berkata pemerhatian awal menunjukkan kebanyakan transaksi BNPL didorong oleh pembelian barangan keperluan dan bukan perbelanjaan tidak terkawal.
“Kita dapati kebanyakan transaksi BNPL adalah untuk membeli barangan keperluan.
“Ini menunjukkan pengguna memang memerlukan barangan tersebut tetapi mungkin belum mempunyai kewangan pada waktu itu.
“Kemudahan BNPL membolehkan mereka membeli sebelum gaji,” katanya.
Selain itu, corak pembayaran juga kekal stabil, dengan kadar ingkar bayaran yang rendah.
“Kebanyakan pengguna membuat pembayaran secara dalam talian. Walaupun baki tertunggak ada, tahap kegagalan pembayaran tidak membimbangkan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi IKIM, Datuk Dr Mohd Yusof Othman memetik laporan Bank Negara Malaysia yang menunjukkan 61 peratus rakyat menghadapi kesukaran dan sebahagiannya langsung tidak mampu – menyimpan sekurang-kurangnya RM1,000 bagi kecemasan.
“Situasi ini mencerminkan tekanan realiti kewangan yang dihadapi rakyat, terutama akibat komitmen bulanan yang tinggi sehingga mengehadkan kapasiti simpanan.
“Tabiat berbelanja secara berlebihan, pendedahan kepada tawaran mudah seperti BNPL dan kecenderungan mengambil pembiayaan tanpa perancangan jangka panjang turut memburukkan keadaan,” katanya.
Beliau berkata isu-isu tersebut menunjukkan kerapuhan asas pengurusan kewangan peribadi dalam kalangan sebahagian masyarakat.
-- BERNAMA