Malaysia Sasar Pemuktamadan Perjanjian Perdagangan Bebas Dengan Korea Selatan

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Malaysia menyasarkan pemuktamadan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea (MKFTA), yang dilihat sebagai platform untuk memperkukuh hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusuf berkata Malaysia sedang dalam proses akhir justeru perjanjian itu dijangka dapat dimuktamadkan tahun ini atau tahun hadapan.

“Malaysia terus mencatatkan prestasi perdagangan yang kukuh dengan Korea Selatan, merekodkan pertumbuhan dua angka bagi jumlah perdagangan dan eksport pada tahun lepas...platform MKFTA akan terus memacu pertumbuhan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara.

“MATRADE melihat platform ini sebagai satu instrumen untuk Malaysia meningkatkan akses pasaran kita ke Korea Selatan dalam pelbagai sektor, termasuk perubatan dan kesihatan, elektrik dan elektronik (E&E), serta barangan pengguna cepat laris,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama di luar acara Misi Pemudahan Perdagangan ASEAN-Korea Selatan ke Malaysia anjuran Pusat ASEAN-Korea, sebuah organisasi antara kerajaan yang bertanggungjawab menggalakkan kerjasama ekonomi dan sosiobudaya antara Korea Selatan dan 10 negara anggota ASEAN.

Ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada acara itu, Abu Bakar berkata jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Korea Selatan meningkat 14.2 peratus kepada US$27.42 bilion (RM128.8 bilion) pada tahun lepas.

Beliau berkata eksport Malaysia ke Korea Selatan kekal stabil pada US$12.31 bilion (RM57.86 bilion), manakala import dari negara itu meningkat kepada US$15.11 bilion (RM71.02 bilion).

“Kekuatan eksport Malaysia terus dipacu oleh produk elektrik dan elektronik (E&E) khususnya litar bersepadu dan peranti semikonduktor, yang berperanan penting dalam rantaian bekalan global.

“Gas asli cecair juga kekal sebagai tonggak utama, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan tenaga yang boleh dipercayai Korea,” katanya.

Abu Bakar berkata sepanjang 10 tahun lepas, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul kira-kira 7.8 peratus, dengan peningkatan konsisten dari tahun ke tahun walaupun menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Lonjakan paling ketara direkodkan pada 2022 apabila perdagangan dua hala meningkat sebanyak 29.2 peratus tahun ke tahun, didorong oleh peningkatan semula yang kukuh dari segi permintaan global serta aktiviti rantaian bekalan yang bertambah baik, katanya.

Beliau berkata trajektori peningkatan berterusan itu mencerminkan daya tahan hubungan ekonomi Malaysia, di samping peningkatan pempelbagaian dalam sektor utama seperti E&E, kimia, jentera dan pembuatan bernilai tinggi.

-- BERNAMA