BERITA TERKINI   Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan lemas di Sungai Langat berhampiran bandar Kajang - Bomba | Jangan hasilkan atau sebar kandungan 3R bersifat provokatif, cetus ketegangan awam - MCMC | PuTERA35 jadi dasar negara martabatkan kedudukan Bumiputera - PM Anwar | Artikel 153, Dasar Bumiputera tidak akan diubah dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat - PM Anwar | Industri halal mampu pecah tembok monopoli pelbagai bidang, Bumiputera harus rebut peluang - PM Anwar | 

Sarawak Mahu Terlibat Dalam Projek SALAM - Julaihi

KUCHING, 1 Dis (Bernama) -- Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berharap kerajaan Persekutuan dapat memberi ruang kepada syarikat telekomunikasi negeri ini untuk turut terlibat dalam pelaksanaan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).

Projek SALAM merupakan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 bagi memperkukuh infrastruktur digital negara.

Beliau berkata inisiatif SALAM akan melibatkan pembinaan kabel fiber optik dasar laut sepanjang 3,190 kilometer yang menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Julaihi berkata demikian pada sesi penggulungan bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Julaihi berkata syarikat telekomunikasi milik kerajaan negeri, SACOFA sedang giat melaksanakan penambahbaikan gentian optik bagi meningkatkan kapasiti rangkaian dan infrastruktur sokongan.

“Inisiatif yang bermula sejak Oktober lepas ini dijangka siap dalam tempoh 20 bulan. Ia bertujuan meningkatkan keupayaan perkhidmatan backhaul bagi penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti CelcomDigi, Maxis dan U Mobile bagi mengurangkan kesesakan rangkaian serta memberi kualiti sambungan Internet yang lebih stabil kepada pengguna,” katanya.

-- BERNAMA