BERITA TERKINI   APG 2025: Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin raih emas pertama Malaysia dalam ujian masa berbasikal lebuh raya individu | Dasar Industri Pertahanan Negara tumpu pemantapan ekosistem, rantaian bekalan, daya saing global dan eksport - PM Anwar | APG 2025: Skuad bola keranjang kerusi roda 3x3 lelaki negara raih pingat pertama kontinjen Malaysia, menang pingat gangsa | Dasar Industri Pertahanan Negara langkah strategik bangunkan industri pertahanan tempatan, kurangkan kebergantungan pihak luar - Mohamed Khaled | Dewan Rakyat: Sebanyak 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri di Sarawak diselesaikan setakat ini - Saifuddin Nasution | 

Malaysia Komited Lindungi Biodiversiti, Perkukuh Kerjasama Antarabangsa

PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) -- Malaysia komited untuk terus melindungi biodiversiti, memperkukuh kerjasama antarabangsa serta memastikan perdagangan hidupan liar diurus secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan kepentingan nasional.

Komitmen itu dinyatakan Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain pada Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) – Twentieth Meeting of the Conference of the Parties (COP20) serta Mesyuarat Jawatankuasa Tetap CITES ke-79 dan ke-80 (SC79 & SC80) yang berlangsung dari 23 Nov hingga 5 Dis di Silk Road Samarkand Expo Center, Uzbekistan.

Adnan dalam kenyataan hari ini berkata penyertaan Malaysia dalam COP20 sekali lagi membuktikan komitmen berterusan negara bagi memastikan sumber marin diurus secara berhemah dan berasaskan sains.

“Perdagangan hidupan liar, khususnya spesies marin berkepentingan tinggi, perlu dikawal rapi agar tidak menjejaskan kelestarian ekosistem.

“Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam proses membuat keputusan di CITES bagi memastikan kepentingan negara terlindung, di samping menyokong usaha pemuliharaan global,” katanya.

Persidangan tiga tahun sekali ini menghimpunkan 185 negara bagi menyelaras tindakan global untuk memastikan perdagangan hidupan liar dijalankan secara mampan, membanteras aktiviti haram, memperkukuh tadbir urus CITES serta menilai cadangan penyenaraian spesies flora dan fauna ke dalam Appendiks CITES.

-- BERNAMA