BERITA TERKINI   Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup dilantik Pengerusi BN Sabah - Setiausaha Agung BN Zambry | Dewan Tertinggi BN terima penyertaan semula PPP - Setiausaha Agung BN Zambry | MIC masih bersama BN, isu keluar hanya spekulasi - Setiausaha Agung BN Zambry | Bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Hafizuddeain dan isteri akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah KL esok - SPRM | Bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohd Nizam akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah KL pada 23 Jan - SPRM | 

Perbincangan Berhubung ART Akan Diadakan Sebelum Ratifikasi - Johari

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk pembangkang berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) akan diadakan sebelum perjanjian itu diratifikasi secara muktamad.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerajaan komited untuk mengadakan perbincangan tersebut untuk menangani sebarang kebimbangan terutamanya berkaitan dengan kedaulatan negara.

“Perkara ini perlu dibincangkan secara terbuka dan kolektif termasuk pada peringkat Parlimen untuk memastikan kepentingan negara terus terpelihara,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berhubung kedudukan Malaysia dalam pelaksanaan dan komitmen terhadap perjanjian ART berbanding negara-negara Asia Tenggara yang masih belum menandatangani atau meratifikasi perjanjian tersebut. 

Johari berkata terdapat beberapa peruntukan dalam perjanjian itu yang masih belum mempunyai takrifan yang jelas terutamanya yang berpotensi menimbulkan salah faham berkaitan isu kedaulatan negara.

“Justeru, proses ratifikasi ini akan digunakan sebagai ruang untuk mentakrif semula maksud sebenar peruntukan tersebut agar ia tidak disalah tafsir atau disalah guna.

“Perjanjian tersebut pada asasnya berorientasikan ekonomi dan perdagangan, bukan politik khususnya dalam memastikan tiada diskriminasi terhadap pelabur sedia ada,” katanya.

Beliau berkata sebarang keputusan akhir hanya akan dibuat selepas rundingan menyeluruh termasuk melalui mekanisme perbincangan secara bersama.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjanjian ART Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai pada 26 Oktober lepas semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 masih belum dikuatkuasakan kerana kerajaan masih berada dalam peringkat perundingan dan mahukan jaminan bertulis yang jelas.

Anwar berkata penguatkuasaan peruntukan dalam perjanjian itu belum berlaku memandangkan masih terdapat ruang untuk maklum balas, selain tiada jadual tamat tempoh rundingan ditetapkan setakat ini.

-- BERNAMA