BERITA TERKINI   Kebajikan atlet terjaga sumbang kejayaan kepada bidang sukan negara - PM Anwar | Kerangka perkongsian awam-swasta di bawah RMK-13 akan diperkukuh antaranya sedia perumahan mampu milik, pembangunan semula bandar - Mohd Shahar | Sukan dan olahraga strategi penting angkat martabat rakyat dan negara - PM Anwar | Kerajaan bercadang menstruktur semula sektor pembinaan melalui kajian pembaharuan merangkumi seluruh kitaran hayat projek - Mohd Shahar | Projek selari dengan keutamaan serantau dan menunjukkan pulangan sosial dan alam sekitar yang jelas akan terima sokongan kukuh kerajaan - Mohd Shahar | 

Inflasi Rendah Dijangka Dorong OPR Kekal Pada 2.75 Peratus Pada 2026 - HLIB

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026, disokong oleh kadar inflasi yang rendah pada 2025 dan pertumbuhan ekonomi yang stabil. 

Berdasarkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata inflasi tahun penuh bagi 2025 adalah pada 1.4 peratus, menurun daripada 1.8 peratus pada 2024, menunjukkan trend disinflasi pascapandemik kekal utuh.

Melangkah ke tahun 2026, HLIB menjangka IHP, pengukur utama inflasi di Malaysia, akan naik sedikit kepada 1.7 peratus, didorong oleh kesan asas yang rendah, pelarasan dasar pada peringkat domestik dan inflasi berkaitan komunikasi.

“Bagaimanapun, aliran peningkatan tersebut dijangka bersifat sederhana berikutan harga RON95 yang lebih rendah, persekitaran komoditi global yang baik dan ringgit yang mengukuh,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut DOSM, inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025 daripada 1.4 peratus pada November 2025, melebihi anggaran konsensus median sebanyak 1.4 peratus.

“Peningkatan itu didorong oleh inflasi yang lebih tinggi untuk minuman beralkohol dan tembakau, perumahan, utiliti dan bahan api lain, maklumat dan komunikasi serta penjagaan diri,” katanya.

Sementara itu, katanya inflasi teras meningkat kepada 2.3 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025 daripada 2.2 peratus pada bulan sebelumnya.

-- BERNAMA