BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

AirAsia Lengkapkan Keperluan Diwajibkan EASA, Kembali Beroperasi Seperti Biasa

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- AirAsia Aviation Group telah melengkapkan proses penggunaan semula perisian versi terdahulu yang diperlukan ke atas rangkaian pesawat A320 yang sedang beroperasi.

Langkah ini dilakukan dengan mematuhi sepenuhnya Arahan Layak Terbang (AD) Kecemasan yang dikeluarkan oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) susulan notis Penghantaran Operator Amaran (AOT) daripada Airbus.

AirAsia dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima AD Kecemasan itu kira-kira 3 pagi waktu tempatan pada 29 November dan terus mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaannya.

Menurutnya menyelesaikan arahan itu dan pada masa sama mengekalkan operasi penerbangan memerlukan penyelarasan mantap merangkumi pasukan kejuruteraan, operasi penerbangan, rangkaian, operasi darat dan pengalaman pelanggan, antaranya di Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Kemboja.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata keselamatan adalah asas kepercayaan yang diberikan pelanggan kepada syarikat, dan AirAsia melaksanakan tindakan susulan serta-merta dan menyeluruh terhadap arahan yang diwajibkan oleh pihak berkuasa pengawal selia ini.

"Penghargaan diberikan ke atas perancangan yang teliti dan penyelarasan mantap melibatkan seluruh kumpulan, daripada pasukan kejuruteraan kami -- disokong oleh rakan kongsi ekosistem iaitu ADE, sehingga menjadikan kerja-kerja pematuhan bagi pesawat telah selesai dalam masa 24 jam.

“Pasukan operasi kami terus berusaha untuk meminimumkan gangguan. Tindakan bersepadu ini mencerminkan ketangkasan, fokus kepada pelanggan dan kerjasama berpasukan yang menjadi identiti AirAsia,” katanya.

Menurutnya penumpang yang menggunakan pesawat AirAsia disarankan menyemak status penerbangan terkini melalui aplikasi AirAsia MOVE atau di airasia.com/flightstatus.

-- BERNAMA