BERITA TERKINI   Cadangan Bekerja Dari Rumah sektor awam diteliti, mungkin dibincang dalam Kabinet esok - Fahmi | Unit MN Holdings raih kontrak projek pencawang pusat data bernilai RM216 juta di selatan Semenanjung Malaysia | Jumlah rizab LTAT meningkat 29.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.01 bilion pada tahun kewangan 2024 | LTAT catat RM749.49 juta dalam pendapatan pelaburan bagi tahun kewangan 2025, keuntungan boleh agih berjumlah RM541.56 juta. | LTAT isytihar dividen 5.35 peratus, RM524.74 juta bagi tahun kewangan 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun | 

Niaga Hadapan Emas Terus Mengukuh Didorong Data AS Yang Lemah

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives terus mengukuh untuk ditutup tinggi pada Rabu, disokong data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang lemah dan penurunan keyakinan pengguna AS.

Perkembangan itu sekali gus mengukuhkan jangkaan terhadap kemungkinan penurunan kadar faedah pada Disember yang turut meningkatkan harga emas.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata aliran aset selamat itu bergerak ke paras tertinggi dalam julatnya apabila pasaran semakin yakin terhadap potensi penurunan kadar faedah pada Disember.

"Prestasi dolar AS kini lemah berikutan kemungkinan Kevin Hassett, seorang yang cenderung kepada dasar monetari kurang agresif, bakal mengetuai Rizab Persekutuan AS," katanya kepada Bernama.

Kontrak bulan semerta November 2025 meningkat kepada US$4,165.2 bagi setiap auns troy daripada US$4,129.3 setiap auns troy ketika ditutup pada Selasa, Disember 2025 menokok kepada US$4,182.3 setiap auns troy berbanding US$4,146.4 setiap auns troy semalam, dan Januari 2026 mengukuh kepada US$4,198.9 setiap auns troy daripada US$4,163.0 setiap auns troy sebelum itu.

Kontrak Februari, April dan Jun 2026 juga ditutup lebih tinggi pada US$4,215.2 setiap auns troy berbanding US$4,179.3 setiap auns troy semalam.

Jumlah dagangan susut kepada 45 lot daripada 115 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 149 kontrak daripada 151 kontrak sebelum itu.

Harga emas fizikal berada pada paras US$4,126.45 setiap auns troy mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 25 Nov, 2025.

-- BERNAMA