BERITA TERKINI   Cadangan Bekerja Dari Rumah sektor awam diteliti, mungkin dibincang dalam Kabinet esok - Fahmi | Unit MN Holdings raih kontrak projek pencawang pusat data bernilai RM216 juta di selatan Semenanjung Malaysia | Jumlah rizab LTAT meningkat 29.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.01 bilion pada tahun kewangan 2024 | LTAT catat RM749.49 juta dalam pendapatan pelaburan bagi tahun kewangan 2025, keuntungan boleh agih berjumlah RM541.56 juta. | LTAT isytihar dividen 5.35 peratus, RM524.74 juta bagi tahun kewangan 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun | 

Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari Berikutan Lonjakan Harga Minyak Jejas Pasaran

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari ini berikutan prestasi suram bursa serantau dalam keadaan sentimen yang terjejas akibat lonjakan harga minyak mentah, dengan harga minyak mentah Brent melebihi US$100 setong pada tengah hari.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.77 mata kepada 1,703.01 berbanding 1,708.78 semasa ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah 8.09 mata kepada 1,700.69 dan bergerak dalam julat antara 1,694.80 hingga 1,704.83 sepanjang sesi pagi.

Sentimen pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 563 berbanding 349. Sebanyak 473 kaunter tidak berubah, 1,282 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 1.61 bilion saham benilai RM1.64 bilion.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 1.23 peratus kepada 25,579.95, Nikkei 225 Jepun turun 1.51 peratus kepada 54,192.86, dan KOSPI Korea Selatan merosot 0.84 peratus kepada 5,562.75 manakala Indeks Straits Times Singapura rendah 0.68 peratus kepada 4,830.96.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 9.63 peratus kepada US$100.80 setong.

Bercakap kepada Bernama, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pasaran Asia diniagakan lebih rendah berikutan harga minyak mentah yang tinggi terus mempengaruhi sentimen pasaran.

Harga minyak mentah melonjak susulan serangan ke atas kapal tangki di perairan Iraq di tengah-tengah konflik Amerika Syarikat dan Iran.

Antara saham wajaran tinggi, Public Bank menambah lima sen kepada RM4.80, IHH Healthcare meningkat sembilan sen kepada RM9.08 manakala Maybank susut satu sen kepada RM11.46, CIMB dan Tenaga Nasional masing-masing turun dua sen kepada RM7.98 dan RM14.22.

Bagi saham paling aktif, OGX Group yang mula disenaraikan di Pasaran ACE susut setengah sen kepada 34.5 sen, AirAsia X meningkat tiga sen kepada RM1.23, Lotte Chemical Titan Holdings menambah lima sen kepada 46.5 sen, Hengyuan Refining Company dan Zetrix AI masing-masing meningkat 10 sen kepada RM1.66 dan 75 sen.

Kaunter paling untung termasuk Petronas Chemicals yang menokok 29 sen kepada RM4.43, United Plantations naik 38 sen kepada RM32.02, Nestlé meningkat 80 sen kepada RM103.70, PPB Group naik 28 sen kepada RM11.28 dan Batu Kawan menokok 24 sen kepada RM19.80.

Kaunter paling rugi pula termasuk Malaysian Pacific Industries yang rendah 74 sen kepada RM29.24, Pineapple Resources merosot 22 sen kepada 60 sen, MISC susut 12 sen kepada RM8.38, Pentamaster Corp turun 18 sen kepada RM2.90 dan Hong Leong Bank berkurangan 24 sen kepada RM22.84.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 40.52 mata kepada 12,285.79, Indeks FBM Emas merosot 41.46 mata kepada 12,442.68, Indeks FBM Mid 70 turun 51.27 mata kepada 17,111.16, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 17.66 mata kepada 12,145.88 dan Indeks FBM ACE rendah 49.02 mata kepada 4,355.66.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 172.35 mata kepada 20,600.96 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.07 mata kepada 174.51, Indeks Perladangan naik 53.69 mata kepada 8,436.52 dan Indeks Tenaga menokok 4.30 mata kepada 800.74.

-- BERNAMA