BERITA TERKINI   Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | Paramount Corporation beli tanah komersial pegangan bebas di Kuala Lumpur daripada IOI Properties dengan harga RM257.88 juta | Unit Solarvest raih kontrak EPCC untuk bangunkan projek LSS5+ di Padang Siding, Perlis bernilai RM89.5 juta | 

Tan Sri Francis Yeoh Terima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ASEAN Di London

KUALA LUMPUR, 26 Nov  (Bernama) -- Pengerusi Eksekutif YTL Corporation Tan Sri Francis Yeoh menerima anugerah Tokoh ASEAN Tahun 2025 – Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Asian Business Awards 2025 ke-26 di London, kata Asian Media Group United Kingdom (UK).

Dalam satu kenyataan hari ini, Asian Media Group berkata anugerah itu mengiktiraf kepimpinan transformasi Yeoh selama beberapa dekad di YTL Corp, merangkumi pembentukan infrastruktur bertaraf global, peneraju agenda kemampanan, pengukuhan perniagaan berteraskan tujuan, serta menetapkan penanda aras yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Penganugerahan tersebut  turut mencerminkan pencapaian luar biasa Yeoh serta menegaskan kepimpinan beliau yang terus memberi impak sehingga hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, majlis anugerah tersebut juga diserikan dengan Wacana Kepimpinan Khas oleh Yeoh yang dikendalikan oleh penyampai radio dan televisyen terkenal British, Nihal Arthanayake.

Sesi wacana yang bersejarah itu dipenuhi dengan perkongsian yang mencetuskan pemikiran serta kesan mendalam kepada para hadirin, terdiri daripada tokoh korporat, diplomat dan penggubal dasar.

Penganjuran pada kali ini turut mencatat sejarah apabila buat pertama kali dalam 26 tahun, kategori Anugerah ASEAN diperkenalkan, melambangkan pengaruh dan kerjasama serantau ASEAN yang semakin menyerlah di UK.

Kehadiran wakil-wakil kedutaan ASEAN yang menyerikan majlis pada masa sama mempamerkan kepelbagaian budaya dan keaslian, menjadikan Asian Business Awards 2025 bukan sekadar meraikan pencapaian, tetapi satu detik yang benar-benar mencerminkan jiwa Asia dan pada masa sama mencerminkan semangat global.

-- BERNAMA