BERITA TERKINI   Pelancaran bantuan untuk pengguna buat keputusan, bantu individu rancang kewangan penjagaan kesihatan - JBMKKS | Hospital swasta layak mohon insentif cukai tubuhkan dana kebajikan bagi galakkan dan biayai perkhidmatan penjagaan kesihatan amal kepada pesakit kurang bernasib baik - JBMKKS | Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) sokong inisiatif utama perluas akses dan pilihan penjagaan kesihatan | Pelantikan Arthur Joseph Kurup sebagai Pengerusi BN Sabah adalah bagi persediaan hadapi PRU16 - Ahmad Zahid | 

Untung Bersih Suku Ketiga SunCon Berjumlah RM83.78 Juta, Isytihar Dividen 29.25 Sen

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Sunway Construction Group Bhd (SunCon) melonjak kepada RM83.78 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2025 daripada RM46.47 juta pada suku yang sama tahun lepas, didorong terutama oleh projek pusat data dan dalaman.

Perolehan juga meningkat kepada RM1.45 bilion daripada RM865.33 juta bagi tempoh yang sama, disokong oleh pertumbuhan pembinaan dan pratuang.

“Segmen pembinaan mencatatkan perolehan RM1.39 bilion dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM123.1 juta, berbanding perolehan RM831.8 juta dan PBT berjumlah RM68.5 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024.

“Pertumbuhan ini didorong terutama oleh kemajuan pesat dalam beberapa projek pusat data dan projek dalaman, yang membawa kepada keuntungan lebih tinggi,” jelas SunCon dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

SunCon mencatatkan prestasi sembilan bulan terbaik setakat ini, merekodkan perolehan RM4.32 bilion dan PBT RM362.9 juta bagi tempoh tersebut berbanding dengan perolehan berjumlah RM2.12 bilion dan PBT RM162.4 juta dalam tempoh sama tahun lepas, sebahagian besarnya disebabkan pertumbuhan segmen pembinaan.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan SunCon Liew Kok Wing berkata prestasi positif itu mencerminkan keupayaan pelaksanaan kukuh SunCon dalam segmen Kemudahan Teknologi Termaju.

Beliau berkata perkara itu diperkukuh oleh rekod SunCon yang telah menyiapkan kapasiti pusat data 144 megawatt (MW) dan kini menguruskan lapan projek yang sedang dilaksanakan untuk syarikat teknologi global utama.

“Melangkah maju, SunCon terus mengukuhkan kehadirannya dalam segmen Kemudahan Teknologi Termaju, di samping kekal memberi tumpuan kepada projek pembinaan awam dan infrastruktur berskala besar, serta projek dalaman daripada Sunway Group.

“Gabungan seimbang ini menyokong nilai perolehan kontrak yang pelbagai dan mampan. Secara keseluruhan, kumpulan kekal yakin dapat merekodkan pendapatan positif bagi tahun kewangan 2025, disokong oleh nilai perolehan kontrak dalam tangan yang kukuh, kedudukan kewangan yang positif dan keupayaan pelaksanaan yang terbukti,” katanya.

Kumpulan itu turut mengisytiharkan dividen sebanyak 29.25 sen, merangkumi dividen interim ketiga satu peringkat sebanyak 6.25 sen dan dividen khas sebanyak 23.0 sen.

-- BERNAMA