BERITA TERKINI   Umat ​​Islam di Thailand menyambut Aidilfitri pada Sabtu - Sheikhul Islam | Umat ​​Islam di Singapura akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu (21 Mac) - Mufti Singapura | Umat ​​Islam di Indonesia akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu, 21 Mac - Menteri Hal Ehwal Agama | 

FED Kekalkan Kadar Dasar Tidak Berubah, Berada Dalam Mod Tunggu Dan Lihat - HLIB

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar dasar monetari pada 3.50 hingga 3.75 peratus dalam mesyuarat kali keduanya berturut-turut, menandakan ia kekal dalam mod tunggu dan lihat, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

Dalam nota penyelidikan ekonominya hari ini, ia berkata para pegawai telah menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan lebih tinggi, berdasarkan kepada momentum yang lebih kukuh yang diperhatikan pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell memberi amaran prospek masih kekal tidak menentu berhubung tempoh konflik di Asia Barat dan potensi kesannya ke atas inflasi dan pasaran tenaga kerja.

“Tahap ketidakpastian yang tinggi menyukarkan lagi persekitaran yang sudah mencabar, di mana inflasi kekal melebihi sasaran dan isyarat pasaran tenaga kerja pula bercampur-campur.

“Dan hasilnya, Powell menekankan tiada sebarang pilihan dasar yang ditolak,” katanya.

Sementara itu, di Malaysia aktiviti ekonomi dijangka kekal berkembang.

Bagaimanapun, konflik yang berpanjangan boleh memberi kesan limpahan, sama ada melalui inflasi yang lebih tinggi yang menghakis kuasa beli atau melalui gangguan bekalan yang mungkin menyebabkan kemusnahan permintaan apabila ekonomi menyesuaikan diri dengan keadaan bekalan yang lebih terhad.

Ini boleh melemahkan pertumbuhan global dan memberi kesan kepada KDNK Malaysia, kata bank pelaburan itu.

Walaupun Malaysia merupakan pengeksport bersih minyak dan gas, negara ini masih bergantung kepada import minyak mentah dan produk petroleum yang ditapis untuk penggunaan domestik, menjadikannya terdedah kepada kelemahan luaran sekiranya konflik berterusan.

“Buat masa ini, kami menjangkakan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus memandangkan penggubal dasar terus menilai kesan ke atas inflasi dan keadaan ekonomi secara keseluruhan,” tambah HLIB.

-- BERNAMA