BERITA TERKINI   Tempoh pelantikan Maimunah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dipendekkan sehingga 14 Nov untuk ditempatkan di GLC gergasi nasional - KSN | Kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands akan dikenakan bayaran pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak - Genting Malaysia | Bayaran bagi menggunakan jalan persendirian itu adalah perlu memandangkan kos penyelenggaraan sepanjang 24 kilometer dan cerunnya ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tersebut sejak tahun 1960-an - Genting Malaysia | 

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, meskipun Wall Street ditutup bercampur-campur, dengan sentimen pasaran tempatan disokong kemungkinan berakhirnya penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.50 mata kepada 1,634.11, selepas dibuka 2.18 mata lebih tinggi pada 1,633.79, berbanding 1,631.61 ketika ditutup pada Rabu.

Sentimen pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 178 daripada 165, manakala 2,125 tidak diniagakan dan 10 digantung. 

Jumlah dagangan sebanyak 129.38 juta saham bernilai RM60.08 juta. 

Dalam nota penyelidikannya, Malacca Securities Sdn Bhd berkata Wall Street ditutup bercampur-campur, dengan harapan terhadap kemajuan menyelesaikan penutupan kerajaan AS menyokong sentimen belian berisiko, sementara kebimbangan terhadap penilaian tinggi saham teknologi mengehadkan kenaikan pasaran.

“Keyakinan mengenai penamatan penutupan kerajaan AS memberi kesan limpahan positif ke atas bursa tempatan. Selain itu, kami menjangkakan minat belian yang berdaya tahan dalam saham teknologi tempatan, terutamanya kaunter berimpak tinggi,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Public Bank kekal tidak berubah masing-masing pada RM9.94 dan RM4.27, CIMB menambah satu sen kepada RM7.60, Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM13.44, manakala IHH Healthcare meningkat enam sen kepada RM8.30.

Bagi saham paling aktif, Borneo Oil, Tanco dan Dagang Nexchange masing-masing tidak berubah pada satu sen, 94 sen dan 30 sen. MMAG dan VS Industry menambah setengah sen masing-masing kepada 8.0 sen dan 47.5 sen.

Dalam kalangan kaunter untung utama, Nestle meningkat 90 sen kepada RM113.80, Fraser & Neave naik 58 sen kepada RM31.62, Dutch Lady menokok 32 sen kepada RM27.60, manakala VSTecs menambah 15 sen kepada RM4.37.

Kaunter rugi utama pula termasuk United Plantations yang susut 76 sen kepada RM25.48, Paragon turun 4.5 sen kepada 61 sen, manakala Pentamaster dan Panasonic masing-masing berkurang empat sen kepada RM3.84 dan RM7.85.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 menokok 66.84 mata kepada 11,909.46, Indeks FBM Emas meningkat 71.57 mata kepada 12,156.15, dan Indeks FBM Emas Shariah naik 11.38 mata kepada 11,878.12.

Indeks FBM ACE pula susut 0.81 mata kepada 5,063.86, manakala Indeks FBM Mid 70 turun 13.37 mata kepada 16,942.09.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 5.94 mata kepada 8,179.42, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.67 mata kepada 168.40, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 12.17 mata kepada 18,440.03, sementara Indeks Tenaga berkurang 0.71 mata kepada 757.38.

-- BERNAMA