IC Design Park 2 Cyberjaya Bantu Percepat Pertumbuhan Malaysia Sebagai Hab Inovasi Global

Oleh Thivyamalini Ramalu

CYBERJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Pelancaran Malaysia Semiconductor Integrated Circuit (IC) Design Park 2 di Cyberjaya menandakan satu kemajuan besar dalam usaha negara untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri semikonduktor global serta membangunkan generasi baharu jurutera berkemahiran tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Sdn Bhd, Kamarul Ariffin Abdul Samad berkata fasiliti itu bukan sekadar venue fizikal tetapi bakal menjadi pemangkin kepada peralihan Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi yang dipacu inovasi.

“Saya berharap projek ini akan menjadi pemangkin kepada Malaysia untuk menjadi negara paling utama di dunia dalam industri semikonduktor. Dan saya fikir, ia sejajar dengan visi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju teknologi semikonduktor di dunia.

“Jadi, saya berharap rakyat Malaysia akan mengambil peluang ini, terutamanya bakat muda kita untuk memulakan atau datang ke Cyberjaya dan mempelajari bagaimana Malaysia boleh menjadi negara inovasi global,” katanya kepada Bernama di luar acara pelancaran IC Design Park 2, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.

Sebagai sebuah syarikat milik kerajaan yang diberi mandat untuk memacu pertumbuhan hab teknologi global yang holistik di Cyberjaya, Cyberview memainkan peranan penting sebagai penyepadu dan pemangkin ekosistem.

Kerjasama Cyberview dengan kerajaan negeri Selangor dan agensi persekutuan utama memainkan peranan penting dalam membentuk visi dan pelaksanaan IC Design Park 2.

Kamarul Ariffin berkata pelancaran itu juga membuka laluan baharu untuk pekerjaan berpendapatan tinggi dan kemandirian teknologi.

“Visinya adalah untuk melahirkan kira-kira 60,000 jurutera. Ini adalah peluang untuk bakat muda kita menjadi pereka litar bersepadu (IC), dengan gaji permulaan lebih tinggi daripada gaji biasa jurutera. Saya fikir gaji permulaan adalah antara RM6,000-RM7,000,” katanya.

Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia itu merupakan inisiatif perintis yang bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan industri semikonduktor Malaysia.

Dengan merapatkan jurang bakat dan teknologi, taman itu akan dapat memupuk ekosistem yang menyokong reka bentuk dan kemajuan IC.

Mengulas lanjut, Kamarul Ariffin berkata Cyberjaya disasarkan menjadi sebagai papan loncatan bagi syarikat teknologi Malaysia untuk membawa produk mereka ke peringkat dunia, yang seterusnya dapat memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.

“Cyberjaya dan Cyberview menyediakan persekitaran yang mana ekosistem teknologi boleh berkembang maju, dan syarikat teknologi ini boleh menguji dan mengembangkan inovasi atau idea mereka,” katanya.

Menurutnya, syarikat pemula niaga boleh menggunakan kemudahan tersebut dan bekerjasama dengan firma teknologi yang telah kukuh untuk menguji idea mereka sebagai sebahagian daripada ekosistem sedia ada.

Beliau berkata walaupun tiada sasaran khusus yang ditetapkan, Cyberview menjangkakan lebih 20 syarikat termasuk pemula niaga dan firma teknologi yang telah kukuh, akan mula menggunakan kemudahan hab itu dalam tempoh terdekat.

“IC Design Park 2 hanyalah permulaan. Kami sedang berusaha untuk membangunkan pembangunan baharu yang akan menyokong bidang seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi baharu yang lain untuk memastikan Cyberjaya terus berkembang.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan Cyberjaya sebagai medan untuk menguji, menambah baik dan kemudiannya dikongsi dengan dunia,” katanya.

Malaysia Semiconductor IC Park 2 merupakan kesinambungan daripada kejayaan IC Park pertama di Puchong, yang dilancarkan pada Ogos 2024 dan kini menempatkan 14 syarikat dengan lebih 200 jurutera tempatan dan antarabangsa.

Pemilihan Cyberjaya sebagai lokasi bagi IC Design Park 2, merupakan langkah yang strategik dan tepat pada masanya.

Cyberjaya, sebagai bandar yang menjadi tumpuan banyak syarikat teknologi tinggi di Malaysia,  menawarkan persekitaran ideal untuk kolaborasi dan inovasi, sekali gus menjanjikan limpahan manfaat yang besar kepada pemain ekosistem.

Sebagai pemaju hab teknologi Cyberjaya, Cyberview Sdn Bhd memainkan peranan penting dalam memajukan landskap inovasi negara dan menyokong sepenuhnya inisiatif tersebut. 

Menerusi insentif menarik yang ditawarkan kepada Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec), Cyberview akan terus memperkukuh kedudukan Cyberjaya sebagai pusat pembangunan teknologi berimpak tinggi negara.

Fasa terbaharu di Cyberjaya ini bukan sahaja akan menambah ruang penyelidikan dan pembangunan, tetapi juga menempatkan Advanced Semiconductor Malaysia Academy (ASEM), pusat latihan lanjutan untuk melahirkan 20,000 jurutera semikonduktor dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Peng berkata jumlah pelaburan Sidec bagi Projek IC Design Park 2 melibatkan dua fasa iaitu bahagian 1 dan bahagian 2.

“Secara keseluruhan, kedua-dua fasa ini membabitkan penyertaan sebanyak 17 syarikat IC. Setiap syarikat mencatatkan purata pelaburan sebanyak RM15 juta,” katanya.

-- BERNAMA