Golden Destinations Sasar Kumpul RM90 Juta Daripada IPO Pasaran ACE
KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Kurator pengalaman pelancongan luar negara perkhidmatan penuh, Golden Destinations Group Bhd, menyasar untuk mengumpul RM90 juta melalui tawaran awam awal (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 16 April, 2026.
Golden Destinations menjelaskan RM50 juta daripada hasil IPO itu akan digunakan untuk sebuah ibu pejabat berpusat baharu di sini bagi menyatukan operasinya serta menyokong tenaga kerja yang semakin berkembang serta keperluan operasi.
Sebanyak RM13.50 juta lagi akan diperuntukkan bagi mengukuhkan usaha penjenamaan, pemasaran dan promosi untuk meningkatkan kebolehlihatan terhadap jenama Golden Destinations di Malaysia dan Singapura di samping mengukuhkan kedudukan pasaran syarikat dalam industri pelancongan luar negara, jelasnya dalam kenyataan hari ini.
RM6 juta pula akan digunakan untuk pengembangan kehadiran dari segi geografi, termasuk mengukuhkan penembusan pasaran di Malaysia Timur dan meneroka peluang untuk mewujudkan kehadiran di pasaran Singapura.
Pengarah Eksekutif Lim Swee Chuan berkata pihaknya merancang untuk mengembangkan kehadiran jenama di Sabah dan Sarawak.
“Pencapaian paling penting adalah penubuhan operasi di Singapura. Perbelanjaan pelancongan luar negara Singapura jauh lebih tinggi daripada di Malaysia. Perbelanjaan Singapura adalah kira-kira dua hingga empat kali lebih tinggi daripada Malaysia.
“Walaupun populasinya lebih kecil, permintaan untuk pelancongan luar negara sangat tinggi,” katanya pada sidang media semasa pelancaran prospektus Golden Destinations di sini hari ini.
Menurut syarikat itu sebanyak RM4 juta akan dilaburkan dalam usaha penambahbaikan sistem teknologi maklumat dan infrastruktur operasi bertujuan meningkatkan kecekapan aliran kerja, mengukuhkan keupayaan data dan menyokong skala operasi yang semakin meningkat.
RM6 juta lagi untuk pengembangan tenaga kerja bagi mengukuhkan keupayaan penyampaian perkhidmatan, meningkatkan kecekapan operasi dan memenuhi permintaan asas pelanggan yang semakin meningkat, tambah Golden Destinations.
Ketika ditanya mengenai konflik Asia Barat dan kenaikan harga minyak yang memberi kesan kepada syarikat, Ketua Pegawai Operasi, Charles Lim berkata kesan terhadap syarikat adalah minimum kerana pihaknya telah mempunyai kontrak dengan rakan syarikat penerbangan.
“Golden Destinations sudah mempunyai kontrak dengan rakan syarikat penerbangan, jadi mereka perlu mengekalkan caj bahan api kami buat masa ini, seperti caj bahan api sebelum ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Lim Swee Chuan berkata perniagaan syarikat sedikit berbeza daripada yang lain.
“Jualan tiket utama kami adalah daripada dua siri utama. Tempahan kali ini dibuat kira-kira setahun lebih awal, dan kami telah mencatatkan jualan sehingga Disember 2026.
“Bagi sesetengah syarikat penerbangan, kami boleh mendapatkan kapasiti sehingga Mac 2027, jadi harga adalah tetap dan tidak akan berubah. Kami juga mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk memenuhi permintaan, malah pada paras tahun lepas,” katanya.
Mengenai IPO, Golden Destinations menjelaskan dengan penerbitan 200 juta saham baharu pada harga terbitan RM0.45 sesaham, permodalan pasarannya mencecah RM450 juta, berdasarkan modal saham terbitan yang dipertingkatkan sebanyak satu bilion saham.
Permohonan untuk IPO akan dibuka pada pukul 10 pagi pada tarikh pelancaran prospektus dan akan ditutup pada pukul 5 petang 6 April, 2026.
UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen tawaran bagi IPO Golden Destinations.
-- BERNAMA