BERITA TERKINI   Agong titah JBPM tingkat tahap kesiapsiagaan berikutan cuaca panas yang berpotensi cetus peningkatan kes kebakaran | Fenomena cuaca panas: Agong titah KPM ambil perhatian serius, pastikan kesihatan murid tidak terjejas | Fenomena cuaca panas: Agong nasihat rakyat ambil langkah berjaga-jaga, kurangkan aktiviti luar | 

MTTSL Sasar IPO RM652.5 Juta, Penyenaraian Logistik Terbesar Sejak Westports

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Pengendali perkapalan kontena, MTT Shipping and Logistics Bhd (MTTSL), merancang untuk mengumpul RM652.5 juta melalui terbitan awam sebanyak 633.5 juta saham biasa baharu.

Dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Bhd pada 26 April, tawaran awam permulaan (IPO) MTTSL mewakili IPO terbesar mengikut permodalan pasaran dan saiz urus niaga dalam sektor pengangkutan dan logistik di Malaysia sejak penyenaraian Westports Holdings Bhd pada 2013.

Westports telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 18 Oktober, 2013, pada harga akhir RM2.50 sesaham, mengumpul kira-kira RM2.03 bilion, menjadikannya salah satu penyenaraian terbesar Malaysia pada tahun itu, saham Westports ditutup enam peratus lebih tinggi pada RM2.65 semasa pelancaran.

Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 2.5 bilion saham dan harga IPO sebanyak RM1.03 sesaham, permodalan pasaran MTTSL semasa penyenaraian dianggarkan kira-kira RM2.6 bilion.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ong Kean Lee berkata 95.7 peratus daripada hasil tersebut diperuntukkan untuk pembelian sekurang-kurangnya 12 kapal kontena binaan baharu dan selebihnya akan digunakan untuk menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

“Sebagai sebahagian daripada objektif strategik jangka panjang kumpulan untuk mengembangkan operasinya armada sedia ada, hasil IPO akan membolehkan MTTSL meluaskan dan memperluas jejaknya secara strategik di dalam dan di luar Asia Tenggara, dan memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk perdagangan domestik dan serantau,” katanya selepas melancarkan prospektus IPO di sini hari ini.

Beliau berkata ia adalah tepat pada masanya untuk pengembangan berkenaan, memandangkan perdagangan serantau terus berkembang dan permintaan untuk kapasiti penghantaran yang boleh dipercayai merentasi laluan domestik dan serantau utama kekal kukuh.

Penambahan kapal baharu ini akan membolehkan MTTSL meningkatkan lagi penawaran perkhidmatannya dan menyokong pergerakan barangan yang semakin meningkat merentasi pasaran yang ia beroperasi.

“Pelaburan ini akan membolehkan kami meningkatkan kapasiti operasi kami, mengukuhkan kedudukan kewangan kami dan meletakkan kami dengan lebih baik untuk merebut peluang yang timbul daripada perdagangan serantau yang semakin meningkat,” katanya.

Kumpulan itu juga akan melaksanakan dasar dividen yang menyasarkan pembayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keuntungan selepas cukai.

CIMB Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penyelaras global bersama, pengurus penyelaras bersama, penaja jamin pengurusan dan penaja jamin bersama untuk IPO tersebut.

CLSA Ltd dan CLSA Securities Malaysia Sdn Bhd pula adalah penyelaras global bersama dan penaja jamin bersama untuk pelaksanaan IPO tersebut, manakala Affin Hwang Investment Bank Bhd ialah pengurus penyelaras bersama dan penaja jamin bersama.

-- BERNAMA