BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

ASEAN Perlu Melihat Dirinya Sebagai Satu Rantaian Bekalan - Liew

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Negara anggota ASEAN perlu menjadikan diri mereka sebagai sebahagian daripada satu rantaian bekalan yang saling berkait dalam industri semikonduktor dan pembuatan global, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Liew, selaku Timbalan Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN berkata syarikat di seluruh dunia kini lebih mengutamakan daya tahan berbanding kos, dengan banyak yang mengamalkan strategi dwisumber berbanding bergantung sepenuhnya kepada lokasi pengeluaran yang paling murah.

“Tidak banyak rantau di dunia yang memiliki rantaian bekalan yang begitu canggih dan kompleks dalam industri semikonduktor, pembuatan cip dan mineral kritikal.

“Kita harus melihat satu sama lain sebagai satu rantaian bekalan yang bersepadu, bukannya sebagai pesaing,” katanya kepada pemberita di Forum Media ASEAN Kesembilan di sini pada Khamis.

Liew berkata hanya beberapa rantau yang mempunyai tahap kecekapan perindustrian seperti ASEAN, dengan menyatakan bahawa Singapura, Malaysia dan Vietnam menerajui bidang pembuatan semikonduktor, Thailand dalam pengeluaran automotif, manakala Indonesia dalam sumber mineral kritikal.

Beliau berkata dalam hal ini ASEAN perlu mengiktiraf kekuatan kolektifnya dan beroperasi sebagai satu rantaian bekalan serantau yang bersepadu serta saling melengkapi, bukannya bersaing antara satu sama lain.

Katanya ASEAN mesti mempunyai keyakinan yang lebih tinggi terhadap keupayaannya untuk merealisasikan potensi ekonomi sepenuhnya.

“ASEAN perlu lebih percaya pada dirinya sendiri, mengambil peranannya dengan lebih serius dan mengiktiraf yang ia mempunyai potensi yang besar. Kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan potensi itu,” tambahnya.

-- BERNAMA