BERITA TERKINI   Keputusan peperiksaan STAM diumum 5 Feb - KPM  | Bangunan warisan mesti terus hidup sebagai ruang mendidik, menyatukan dan beri inspirasi untuk generasi masa hadapan - PM Anwar | 3,164 sekolah diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid setakat November tahun lepas - Timbalan Menteri Pendidikan | Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad pastikan sejarah terus hidup, difahami dan jadi pedoman hadapi cabaran masa depan - PM Anwar | Agong berkenan sempurnakan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad Fasa 1 | 

Pasaran Getah Dijangka Melonjak Minggu Hadapan

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka melonjak minggu hadapan selepas hujan lebat yang berterusan di negara-negara pengeluar getah utama seperti Thailand dan Malaysia, terus menjejaskan produktiviti selain menimbulkan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan.

Pakar industri Denis Low menyatakan bahawa Jabatan Meteorologi Thailand telah mengeluarkan amaran ribut untuk selatan Thailand disebabkan oleh peralihan corak monsun.

“Di Malaysia, jabatan meteorologi telah mengeluarkan amaran ribut petir untuk beberapa negeri. Secara serantau, Asia Tenggara mengalami fenomena antara monsun awal, dengan angin kencang yang kuat dan hujan lebat yang berterusan terus menghalang produktiviti getah,” katanya kepada Bernama.

Harga minyak mentah serta dolar US yang tidak menentu turut mempengaruhi sentimen dan permintaan pasaran.

“Ketidakstabilan ini mencerminkan ketidakpastian dan boleh mewujudkan sikap berhati-hati serta kebimbangan di kalangan peserta pasaran. Oleh itu, kami mungkin akan melihat pendekatan yang lebih berwaspada ke atas urus niaga dalam komoditi ini,” katanya.

Dari Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk SMR 20 meningkat sebanyak 12 sen pada minggu ini kepada 748.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal menyusut satu sen kepada 568 sen sekilogram.

-- BERNAMA